Friday, October 22, 2010

Hari Lahir

Najmi, Ainul dan Imran meningkat satu tahun usia mereka. Najmi kini berumur 9 tahun, manakala Ainul dan Imran pula 7 dan 6 tahun. Mereka besar tanpa kami sedari. Masing-masing telah bijak dan pandai. Mulut pun dah banyak. Idea bernas pun banyak, Soalan pun banyak , Ragam pun banyak, dan 'Complain' pun dah mula pandai ... Inilah kegembiraan yang paling besar bagi kami berdua, iaitu anak-anak ..
Bila dikenang saat beberapa tahun yang lalu. Ia sungguh mencabar dan menguji kesabaran. Sekejap-sekejap pergi klinik. Lepas seorang deman, seorang lagi pulak demam.. sampai Dr di Segamat tu dah kenal mesra. (nama klinik pun klinik mesra). Perbelanjaan pun besar masa itu.. diapers, susu dan banyak lagi ... Yang paling mengembirakan Deb ialah dia tidak perlu bangun ditengah-tengah malam untuk membuat susu anak-anak. he he... Saya bertuah kerana sentiasa dianugerahkan tidur yang sangat nenyak .. he he

Sempena hari lahir mereka, Deb buatkan kek untuk Najmi dan Ainul. Manakala kek Imran pula dihadiahkan oleh Auntie Rashidah dan Kak Azah. Ainul nak kek Princess, manakala Imran nak Ben10. Untuk Najmi, seperti biasa dia "tak kisah".

Kek Princess Ainul - DOB 28 September 2003


Kek Ben 10 untuk Imran- DOB 25 September 2004


Najmi dengan kek coklat - DOB 16 Oktober 2001

Kepada Najmi, Ainul dan Imran, ...Papa & Mama doakan agar sentiasa gembira dan dapat jadi anak-anak yang soleh. Papa dan Mama berjanji dan berikrar akan 'spend' masa yang lebih banyak bila dah siap PhD ini..

Thursday, October 14, 2010

Berakhir cuti sekolah

Minggu ini sekolah 'start' semula selepas cuti selama 2 minggu. Ain naik kelas ke kelas "Ablaze", manakala Imran masih kekal di 'Glow Worm'. Terkontang-kanting lah Imran di kelas tersebut tanpa kakaknya. Mana tidaknya, sudah hampir setahun, Ainul dan Imran berada di kelas yang sama.

Imran banyak bergantung kepada Ainul, manakala Ainul pula bersifat 'protective'. Elok sangatlah tu.. Kini masing-masing kena berdikari.

Apa kami buat masa cuti sekolah? Jawapannya tidak ada apa-apa. Lepak dirumah sahaja. Makan, tidur, makan tidur. Jika ada jemputan 'open house' kami pergi. Jika tak ada jemputan kami duduk rumah diam-diam.

Wednesday, September 15, 2010

Raya di Wellington


Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Batin kami ucapkan kepada semua ahli keluarga, sahabat handai, semua bekas pelajar dan kenalan. Semoga kehadiran 1 syawal akan mengeratkan hubungan kekeluargaan, persahabatan, dan juga kejiranan.

Bagi kami sekeluarga di sini, Aidil-Fitri tahun kami sambut dengan cara yang amat sederhana. Kami memasak rendang, lemang, roti jala dan sedikit biskut untuk hari raya. Semuanya perlu dimasak sendiri. Tidak boleh dibeli atau ditempah seperti di Malaysia.

Lemang kegemaran Papa, Najmi & Ainul. Terima kasih mama (Deb)

Sembahyang sunat hari raya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington

Bezanya kali ini, kami berjaya membuat lemang sendiri. Selepas usaha mencari lemang segera dikedai-kedai gagal, Deb terpaksa bertindak berani untuk membuat lemang. Alhamdulillah percubaan pertama yang dilakukan beberapa hari sebelum hari raya berjaya.

Jadi pada malam raya kami memasak 5 kg lemang. Kami bawa 4 kg ke majlis sambutan aidil fitri anjuran Hicom Malaysia untuk dikongsi dengan adik-adik undergrads yang beraya tanpa ahli keluarga. Selebihnya kami makan di rumah.

Budaya kunjung mengunjung juga kami teruskan. Kami sempat menziarah rumah Nawawi (cambodia), Sufian (cambodia), Shamsuddin&Suzana, Aini &Azlan, dan akhirnya rumah Pn Rashidah.

Ianya hari yang sungguh memenatkan, tapi cukup untuk mengubat kerinduan pada ahli keluarga di Malaysia.

Wednesday, September 8, 2010

Persiapan Untuk Mati

Semalam kami ke PakNSave membeli sedikit barang keperluan ‘civil defence box’ sebagai langkah keselamatan menghadapi bencana gempa bumi. Buat pertama kali dalam sejarah, saya perhatikan ramai pelanggan membeli air mineral untuk persiapan sekiranya bekalan air terputus.

Kami pastikan jumlah makanan dan air bersih mencukupi sekirang bencana melanda Wellington. (walaupun ianya jauh dari pusat bencana di Christchurch). Apabila semuanya selesai, saya semak stok makanan yang ada di garaj, huh memang banyak dan rapi sungguh persiapan untuk hidup ini. Mana tidaknya .. beras (40kg), kambing (1/2 ekor), ayam (6 ekor), minyak masak (12 botol) dan banyak lagi... semua adalah bekalan untuk terus hidup.

Tiba-tiba hati kecil berkata, bagaimana pula persiapan untuk mati ?

Wednesday, September 1, 2010

How Ruben Became a Muslim?



How to download this video

If you want to download this video, first visit this website http://keepvid.com/

and then "copy and paste" the following url, and after that click the "download" button.

http://www.youtube.com/watch?v=USkJSRJ9xfw&feature=player_embedded

Finally, you need to choose a video format (e.g. FLV, MPG4 and etc).

Tuesday, August 31, 2010

New Rock Band - Aosomoes

Satu kumpulan rock baru bernama Aosomoes telah ditubuhkan oleh Najmi, Ainul dan Imran. Kenapa memilih nama tersebut? Menurut pengurus mereka, Pn. Adibah, "bila tanya they all why Aosomoes, they all kata... it's a secret, you don't have to know... (ala-ala no comment...hahaha)". Mengenai jadual persembahan, mereka dijangka akan membuat persembahan sulung di Malaysia pada pertengahan tahun hadapan.



Pengurus kewangan bagi kumpulan ini, En. Khairul, telah memenangi bidaan bagi peralatan muzik bagi rock band ini di trademe.co.nz dengan harga NZD 60 (RM 150), yang mengandungi drum, wireless guitar, mirophone, dan 2 DVD PS2 Rock Band.

Kepada kumpulan Asomoes, dinasihatkan agar janganlah main muzik banyak sangat di bulan Ramadhan yang mulia ini, sebaliknya banyaklah mengaji alif, ba, ta..

Monday, August 30, 2010

Good Dad

Selalunya di perhimpunan hari Isnin Epuni Primary School, hanya pelajar-pelajar yang diberikan hadiah dan penghargaan. Kali ini ia sungguh berbeza. Saya dipanggil untuk menerima hadiah istimewa sebagai 'Good Dad'. Alhamdulillah, saya berikan senyuman yang paling manis semasa menerima anugerah tersebut. Ain, Najmi, dan Imran mengenyit mata sebagai tanda tumpang gembira.



Saya menerima sekeping sijil dan sebuah buku bertajuk "Richie McCaw: A Tribute to a Modern-Day Rugby Great". Saya sungguh gembira menerimanya, walaupun sebenarnya ramai bapa-bapa lain yang lebih layak.

Saturday, August 28, 2010

Perubahan Cuaca

Sudah hampir dua minggu, silih berganti saya dan anak-anak tidak sihat. Lepas seorang diganti seorang yang lain, macam lari berganti-ganti pula. Saya sendiri menanggung demam 'on off' begitu.

Mengikut Dr. kami alergik kepada debunga yang begitu banyak sekarang ini. Maklum sahajalah musim sejuk telah berakhir dan musim bunga telah pun bermula. Kami doakan kita semua beroleh kesihatan yang baik. Amin Ya Allah..

Friday, August 27, 2010

Belajar Komputer

Apabila melihat skill Najmi, Ainul dan Imran menggunakan komputer, saya teringat saat saya belajar komputer pada hujung zaman 80an. Terkedek-kedek dan takut-takut. Keluarga saya terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menghantar saya ke kelas komputer. Teringat lagi perisian zaman dahulu kala seperti GWBasic, MsDOS, WordPerfect, Ms. Windows 3.1, Lotus 123... dan banyak lagi..

Tapi kini semuanya amat berbeza. Najmi, Ainul dan Imran masing-masing 'pandai sendiri' menggunakan komputer. Kalau dahulu saya terpaksa membeli CD games untuk install ke dalam komputer, tapi kini mereka mampu mendownload dan meng'install' sendiri games dari internet. Paling tidakpun, mereka bermain 'online game', dan yang terbaru mereka telah berhijrah ke game di facebook pulak. Masing-masing sudah mempunyai akaun facebook sendiri. Jauh sungguh bezanya dengan zaman saya dahulu.

Kalau dahulu komputer tersebut dimonopoli oleh Najmi. Kini Ainul dan Imran pun sangat berminat juga. Masing-masing mengira-ngira dan membahagikan masa penggunaannya. Kadang-kadang timbul peperangan kecil kerana ada yang terlebih/terkurang masa menggunakan komputer.

P/s jika ada sahabat yang tahu mana-mana software untuk mengawal masa penggunaan komputer anak-anak, contohnya 1 jam seorang, harap dapat cadangkan.

Monday, August 23, 2010

Hati Yang Hancur

Hati saya hancur. Saya sangat sedih. Saya telah kehilangan beberapa orang sahabat.

Yang terbaru, dua minggu yang lalu, saya terima email dari seorang sahabat lama, meminta saya memberi ‘softcopy’ data PhD saya kepadanya. Dia perlukan data tersebut untuk menjalankan analisa tambahan untuk PhD beliau. Saya rasa sangat serba salah. Dengan rasa berat hati, saya tolaknya permintaannya. Saya berikan dua alasan.

Pertama: Data tersebut ialah data utama PhD saya. Jika saya berikan kepada beliau, apa yang akan tinggal kepada PhD saya? Sesiapa sahaja boleh menjalankan analisa keatas data tersebut. Risikonya amat besar ...terlampau besar. Saya sangat takut. Saya boleh pulang dengan tangan kosong jika ada pelajar PhD lain yang menjalankan analisa yang sama dengan saya.

Kedua: Saya mengambil masa 8-9 bulan untuk mengumpul dan membina data tersebut. Wajarkah saya menyerah sesuatu yang sangat bernilai (yang mana saya sendiri belum habis gunakan) kepada orang lain. Malah, kedua-dua supervisor saya sendiri enggan menyimpan salinan data tersebut kerana merasakan bahawa mereka tiada hak keatasnya.

Sejak hari itu, saya tidak lagi mendapat balasan email dari beliau. Kali terakhir, saya berikan email ucapan selamat berpuasa kepada beliau. ... namun tiada jawapan langsung. Saya tahu beliau kecewa dengan sikap kedekut dan bakhil saya.

Adakah yang sebenarnya telah berlaku. Adakah saya telah berubah. Adakah pengajian PhD ini telah mengubah sikap saya dan telah merosakkan hati dan nurani saya. Adakah PhD ini telah menjadikan saya bersifat keras, zalim, kedekut, terlampau mementingkan diri sendiri, dan tak berperikemanusian. Saya sendiri tidak tahu jawapannya.

Soal data PhD ini memang menekan perasaan saya. Data yang menjadi asset kepada saya menjadi liabiliti (beban) yang terlampau berat. Permintaan menerusi email 2 minggu lepas bukanlah yang pertama dalam sejarah PhD saya. Sebenarnya, ia adalah permintaan dari orang yang ke-lima. Ya..memang betul ...yang kelima.. Bererti.. sudah lima orang sahabat dikecewakan...

Daripada lima rakan tersebut, dua orang masih lagi mengekalkan hubungan baik. Manakala tiga yang lain telah menyepikan diri, dalam diam mereka telah meninggalkan saya dan memutuskan persahabatan. Saya rasa sangat sedih, sangat kecewa dan sangat terkilan. Saya berdoa kepada Allah swt,

Ya Allah, Ya Tuhanku,
Tuhan Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang
Aku berlindung kepada-Mu dari rasa resah dan sedih, dan
Aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan kedekut, dan
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan syaitan dan penindasan manusia.

Ya Allah, Ya Rahim
Berikanlah keikhlasan kepada ku dalam menjalinkan hubungan persahabatan
Kau berikanlah kefahaman kepadaku sahabat-sahabat ku, dan
Berikanlah kepadaku sahabat-sahabat yang ikhlas lagi baik untukku.
Amin ya Allah.

Friday, August 20, 2010

Kesibukan Melampau


Rasanya dah terlampau lama bolg ini tak di'update'. Alasan sama saya berikan iaitu 'kesibukan melampau'. Itulah cabaran kepada pasangan yang kedua-duanya membuat PhD dalam masa yang sama. Alhamdulillah nasib baik anak-anak semuanya sudah lama meninggalkan zaman lampin dan botol susu. Kalau tidak, sudah tentu penuh dengan ruam merah kerana lampin lewat di tukar.

Saya berkira-kira untuk menutup laman blog ini. Mungkin masanya sudah semakin hampir. Saya kongsikan beberapa entry akhir untuk blog ini. Saya updatekan juga beberapa keping gambar Ainul dan Imran di Whakapapa Skifield. (Gambar Najmi saya tak uploadkan, sebab dia cakap " I hate publicity")

Walaupun sejuk, mereka gembira


Akitiviti tahunan yang sentiasa di nanti oleh Imran

.
.
.
.
Sekian, Salam Ramadhan dari kami sekeluarga.

Khairul, Adibah, Najmi, Ainul & Imran
Wellington, NZ

Sunday, August 15, 2010

Demam

Hanya sehari Imran bersekolah pada minggu lepas. Dia berehat di rumah dari hari Selasa hingga Jumaat. Deman, selsema dan batuk alhamdulillah beransur baik. Mungkin disebabkan perubahan cuaca sejuk dan panas bersilih ganti.

Friday, August 13, 2010

Hidangan Istimewa

Semalam kami bertiga berbuka puasa di rumah. Juadahnya 'biasa-biasa' sahaja. Tiada nasi beriyani gam, tiada ayam golek, tiada air soya, tiada murtabak, tiada satay, tiada itu dan tiada ini.

Namun kami bertiga (terutamanya Najmi) cukup berselera dan gembira. Apabila di renung kembali, itulah sebenarnya anugerah dari Allah swt kepada orang berpuasa, iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika hari raya.

Wednesday, August 11, 2010

Mula Berpuasa

InsyaAllah esok (khamis), kami di Wellington akan mula berpuasa. Ianya lewat sehari dari keluarga dan sahabat di Malaysia. Apabila tiba bulan Ramadhan, kami teringat sangat pada keluarga di Malaysia. Keseronokan berpuasa bersama keluarga jelas terbayang.

Sepertimana pada tahun-tahun yang lepas, berpuasa di Wellington ini adalah seperti mana di Malaysia. Cuma yang berbeza ialah tiada pasar ramadhan. Jadi semua juadah perlu disediakan sendiri. Yang menariknya ialah waktu berpuasa adalah lebih pendek. Waktu Imsak adalah lebih kurang 5.50 pagi manakala Maghrib lebih kurang pukul 5.40 petang.

Anak-anak terutamanya Ainul sibuk bertanya pasal ibadah puasa. Boleh minum ke? boleh makan ke? boleh tengok tv ke ? dan macam-macam lagi. Untuk memudahkan kefahaman mereka, kami pasangkan youtube Upin & Ipin.

Tuesday, August 10, 2010

Selamat Berpuasa & Beribadah

Selamat berpuasa dan beribadah kepada semua ahli keluarga dan semua sahabat. Kami sekeluarga memohon maaf atas segala salah dan silap. Semoga kita dapat memanfaatkan kehadiran Ramadhan kali ini dengan amal ibadah dan meningkat ketakwaan kepada Nya.

Tuesday, August 3, 2010

Tiga Bulan Yang Pendek

Pada hari Ahad, Nenek & Atuk meninggalkan bumi Wellington. Mereka terbang ke Auckland dan kemudinnya terus ke Kuala Lumpur. Bagi Najmi, Ainul dan Imran ianya merupakan suatu kehilangan yang besar. Mana tidaknya, mereka bermanja dengan Atuk & Nenek selama tiga bulan ini. Pasti layanan dan masakan istimewa Nenek menjadi kerinduan mereka.

Kini Najmi, Ainul dan Imran tinggal kembali dengan Papa dan Mama yang 'sangat sibuk'. Mereka terpaksa lebih berdikari dan pandai-pandai menguruskan diri. Kepada Atuk dan Nenek, Selamat pulang ke Malaysia dan Selamat Bergembira.

Wednesday, July 21, 2010

Nenek Glenys

Nenek tua bernama Glenys memang istimewa bagi pelajar-pelajar di Epuni Primary School. Beliau mengisi masa lapangnya dengan mengait 'beanie', iaitu sejenis tutup kepala yang digunakan semasa winter. Semua beanie yang telah siap dihadiahkan kepada pelajar-pelejar junior di Epuni Primary School [mungkin sekolah lain juga.. saya tidak pasti). Imran & Ainul tidak ketinggalan untuk menerima Beanie masing-masing.

Baru-baru ini kanak-kanak ini menulis surat kepada Nenek Glenys untuk mengucapkan terima kasih. Tidak lama selepas itu, mereka menerima surat balasan dari Nenek Glenys. Imran & Ainul teruja untuk menceritakan surat Nenek Glenys kepada kami.

Sebagai ibu-bapa, kami mengucapkan terima kasih kepada Nenek Glenys kerena memberi contoh dan pendidikan tidak formal kepada anak-anak kami.

Thursday, July 15, 2010

AFAANZ 2010

Pada 30hb Jun sehingga 2 July, kami berdua akan mengikuti AFAANZ 2010 Doctorol Consortium. Ia adalah anjuran Accounting and Finance Association of Australia and New Zealand. Alhamdulillah, penginapan, makanan dan segala kos doctoral consortium ini ditaja oleh AFAANZ. Terima kasih kepada kedua-dua supervisor yang mencalonkan nama kami kepada organiser. Bersama dengan kami ialah 38 pelajar lain dari Australia dan New Zealand.

Kami dibahagikan kepada 5 kumpulan, yang mana setiap kumpulan terdiri dari 8 orang pelajar PhD dan 2 orang senior researcher.Kebetulan, saya dan Deb berada dalam kumpulan Financial Reporting. Ia dikendalikan oleh Katherine Schipper dan Michael Bradbury.Ia adalah suatu pengalaman yang sangat berharga. Banyak ilmu dan manfaat telah kami perolehi dari Katherine dan Michael.

Program Doctoral Consortium ini akan diikuti dengan AFAANZ 2010 Conference mulai 3-6 Julai 2010 yang akan dihadiri oleh

Wednesday, June 16, 2010

Yang Berjasa

Nissan Bluebird ini memang banyak berjasa. Saya beli dengan harga NZD 2,000 pada November 2008. Ia tidak pernah meragam. Hanya servis dan pembaikan kecil sahaja. Hampir satu 'North Island', telah kami jelajahi dengan kereta ini. Ia telah mengembara dari Wellington hinggalah ke Kaitaia, iaitu bandar terakhir di utara New Zealand. Selain itu, dalam tempoh 2 tahun setengah ini juga, sudah dua kali ia mendaki Mount Ruapehu. Banyak sungguh jasanya.

Tahun 1997, 1800cc Manual, Mileage: 150,000km

kereta ini .. adalah antara doa yang dimakbulkan Allah


dalam kenangan.. terima kasih atas khidmat baktimu


Namun, pada Ahad lepas, saya telah jual kereta Nissan ini kepada seorang sahabat yang baru sampai di Wellington. Mereka sekeluarga bersungguh-sungguh memujuk saya untuk membeli kereta tersebut. Akhirnya, saya jualkan juga dengan harga NZD 2,000. Saya dan keluarga berterima kasih atas khidmat baktinya. Mungkin sudah sampai masanya berpindah tuan.

Tuesday, June 15, 2010

Berbunyi

Sudah bermula:
1. Hujan rimis yang tak berhenti
2. Sejuk yang menusuk tulang
3. Tiupan angin selatan yang dingin
4. Malam yang begitu panjang
5. Perut yang sentiasa berbunyi..
.... [dan boleh tambah yang lain sendiri]

Saturday, June 12, 2010

Au Revoir ... Canada

Selepas dua minggu berada di Canada, saya dan Deb pulang semula ke New Zealand. Penerbangan 1 jam setengah dari Edmonton ke Vancouver, diikuti dengan penerbangan hampir 14 jam untuk ke Auckland, bukan sahaja membawa kami merentas benua, tapi merentas musim dan juga masa. Kami kehilangan satu hari apabila kapal terbang Air New Zealand' merentas garisan masa. Ketibaan kami di bumi kiwi, di sambut dengan hujan renyai dan tiupan angin selatan yang sangat sejuk, menandakan bahawa musim 'winter' di New Zealand telah pun bermula.

bercinta di Banff


Columbia Icefield


Fuza, adik Akmal. Deb & Sa

Kami menghabiskan masa selama 2 minggu di Canada. Seminggu untuk CAAA 2010 dan seminggu lagi untuk lawatan keluarga. Pemergian ke Canada tidak pernah dirancang. Ia tidak pernah terfikir di minda saya. Kami bersyukur kepada Allah atas anugerah dan rezekinya. CAAA 2010 memberi ilmu dan pengalaman yang luar biasa kepada saya. Kini, barulah saya faham kenapa kedua-dua Supervisor menolak permohonan saya untuk menghadiri dua konferen sebelum ini. Mereka beriya-iya menyarankan agar saya pergi ke CAAA walaupun 'School' terpaksa berbelanja besar. Untuk Konferen ini, 'School' telah membelanjakan sebanyak NZD 5000 iaitu lebih kurang RM 12,000. Saya berterima kasih kepada mereka.

University of Alberta

Tahun 60an


Fort Edmonton Park

Selepas selesai konferen, kami menziarah Adik Akmal yang kebetulannya merayakan konvokesyennya. Kami kemudiannya dibawa bercuti ke Banff, dan juga sempat singgah ke melihat Glacier di Columbia Icefield, sebelum pulang melalui Jasper. Pemandangan yang indah dan pengalaman yang menarik.

Tower Clock - Gastown, Vancouver


Sepanjang di Edmonton, kami tinggal di rumah adik Akmal. Terima kasih kepada adik Akmal dan juga teman serumah (Miran, Fuza, Sabiqah) serta Budi dan keluarga, atas layanan mesra. Terima kasih juga kepada Sakinah dan Hisham yang meminjamkan kereta Odyssey mereka.

Convocation adik Akmal
Tahniah adik Akmal

Edmonton Airport, Alberta

Semoga kita berjumpa suatu hari nanti dan semoga semua berjaya dalam apa yang diusahakan. akhirnya.. walaupun bumi Canada telah kami tinggalkan, namun kami tak kan lupakan kemesraan kalian semua.

Wednesday, June 2, 2010

Kerinduan

Saya dan Deb kini berada di Edmonton, Canada. Selepas tamat conference, kami segera mengambil penerbangan domestic dari Vancouver ke Edmonton. Ini adalah satu perjalanan untuk melepaskan rindu Deb kepada adik bongsunya, Wan Akmal. Mana tidaknya, kali terakhir mereka bertemu adalah 4 tahun yang lalu, ketika kami menghantar adik Akmal ke KLIA untuk melanjutkan pengajian.

Masa begitu pantas berlalu. Kini adik Akmal telah menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan petroleum di University of Alberta. Majlis konvokesyennya akan tiba dua hari lagi. InsyaAllah kami akan bersama-sama merayakannya dengan adik Akmal.

Edmonton Airport

Walaupun adik Akmal telah 'dewasa', tapi Deb tetap melayannya seperti adik kecilnya. Bagi Deb, adik Akmal tetap adik kecil yang perlu dibelai dan dimanja. Saya memerhatikan dengan penuh minat. Itulah keistimewaan menjadi adik yang bongsu. Mereka lebih mewah dengan kasih-sayang, wang ringgit dan juga perhatian.

Saturday, May 29, 2010

Jauh Lagi

Semalam, sehari suntuk saya menghadiri Craft Workshop yang dikendalikan oleh tiga orang Editor journal Contemporary Accounting Research. Bersama dengan saya ada 20 orang student PhD yang lain.

Banyak juga input-input yang dapat dari Workshop ini. Selepas tamat Workshop, terasa diri macam kerdil sahaja. Rasanya tersangat jauh perjalanan untuk menghasilkan 'masterpiece' yang boleh diterbitkan di journal bertaraf A+ seperti Contemporary Accounting Research (CAR), The Accounting Review (TAR), Journal of Accounting Research (JAR), Accounting, Organisation and Society (AOS), atau Journal of Accounting and Economics. Nak keluarkan karya ke Journal bertaraf B pun terasa sukar, inikan journal A atau A+.. Huhu

Kepada Allah kita memohon. "Ya Allah Ya Tuhanku, Tuan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengetahui, Tambahkan ilmu kedalam dada kami, Amin Ya Allah."

Tuesday, May 25, 2010

Najmi & Pertandingan J-Rock

Hari Isnin yang lalu, Najmi dan rakan-rakannya mengadakan rehearsal sempena pertandingan J-Rock 2010 (pertandingan tarian antara sekolah-sekolah Wellington) yang akan diadakan pada 27 Februari di TSB Arena Wellington. Saya dan Deb tidak dapat menyaksikan rehearsal mahupun pertandingan sebenar itu nanti kerana masih berada di Vancouver. Kami tahu Najmi dan rakan-rakannya telah berlatih bersungguh-sungguh untuk pertandingan ini. Pasukan sekolah mereka mendapat latihan intensif dari Chazz Cumming, juara NZ Got Talent 2008.



Dalam perbualan telefon antara Najmi dan Deb semalam, Najmi memberitahu bahawa terdapat ibu-bapa yang turut hadir. Kami tidak mampu mengatakan apa-apa. Kami tahu, Najmi agak sedikit kecewa tentang ketiadaan kami untuk menyokongnya.

Pertandingan J-Rock ini adalah kali yang kedua diadakan di Wellington. Pada tahun lepas, Najmi tidak dapat menyertai pertandingan ini kerana mengikut kami pulang ke Malaysia untuk 'data collection'. Pada tahun ini pula, Papa dan Mama tidak dapat menyaksikannya pula. Kami berharap Najmi dapat melakukan yang terbaik pada 27 hb nanti. Kepada Najmi, Papa dan Mama always proud of you. Do your best okay.

p/s kepada Cik Dan, Cik Ja or Cik Su, If you want to wish him good luck, just call his handphone.

Sunday, May 23, 2010

Wellington-Auckland-Vancouver

Beberapa jam lagi, saya dan Deb akan bertolak ke Vancouver, Canada. Penerbangan dari Wellington akan transit sebentar di Auckland sebelum terbang terus ke Vancouver. Penerbangan Auckland-Vancouver dijangka mengambil masa 13 jam. Kami berdoa kepada Allah swt agar perjalanan ini dilindungi dan dipermudahkan NYA.

InsyaAllah, kami akan berada di Canada selama dua minggu. Pada mulanya, saya akan menghadiri "Craft Workshop" yang akan dikendalikan oleh kumpulan editor journal "Contemporary Accounting Research (CAR)". Selepas itu, diikuti dengan CAAA 2010 Conference. Semoga program ini memberi ilmu dan membawa mandaaf. Selain itu, kami juga akan menghadiri konvokesyen adik Wan Akmal di Edmonton sebelum pulang semula ke Wellington.

Kepada Najmi, Ainul dan Imran. Papa dan Mama berpesan agar jangan nakal-nakal dan jangan menangis [biar papa & mama sahaja yang nangis]. Mereka akan tinggal bersama Atuk dan Nenek di Wellington. Selain itu Uncle Niklin, Uncle Dasuki dan beberapa sahabat lain juga volunteer untuk membantu sekiranya perlu. Semoga mereka semua diberikan kesihatan yang baik juga. Amin Ya Allah.

Tuesday, May 18, 2010

Ketibaan Ma dan Abah

Pada hari Ahad minggu lepas (9 Mei 2010), kami sekeluarga, ditemani oleh Niklin sekeluarga dan Dasuki sekeluarga bertolak ke Auckland untuk menjemput ketibaan Ma & Abah dari Malaysia. Kami bermalam di Auckland selama 2 malam dan kemudiannya singgah di Rotorua selama 2 malam, sebelum pulang ke Wellington.

Auckland Airport

Bermalam di Avondale Motor Lodge, Auckland

Whakarewrewa Village, Rotorua


Bersama Pahlawan Maori


Ma posing di Huka Fall, Taupo

Alhamdulillah kami selamat tiba di Wellington pada jam 11.30 malam Rabu. Mengikut perancangan, Ma dan Abah akan berada di NZ selama 3 bulan. Nampaknya kurang sedikit stress pengajian PhD ini kerana ada Ma dan Abah melayan kerenah Najmi, Ainul dan Imran. Pada hujung tahun pula, Opah Atok dan Cik Su dijangka akan melawat kami pula. InsyaAllah.

Wednesday, May 5, 2010

Doa (2)

Sebelum berlepas ke Wellington, ahli-ahli keluarga dan para sahabat berpesan kepada kami agar banyak berdoa kepada Allah swt. Perantauan kami di bumi asing memang banyak dugaan dan kesulitan yang akan ditempuhi. Kehidupan pasti tidak semewah dan semudah di Malaysia. Pengajian PhD juga bukan satu tugas mudah. Ia merupakan satu tugas yang mencabar minda, emosi dan juga fizikal.

Disebalik pesanan berdoa tersebut, emak saya berpesan agar sentiasa membaca Surah An-Nur, ayat yang ke 35. Semoga ia menjadi panduan berguna juga kepada sahabat yang lain.

Wednesday, April 28, 2010

Berdoa

Sudah lebih 2 minggu memproses data. Test ini test itu, siang test, malam pun test, subuh pun test, keputusannya tak beberapa memuaskan.

Ia adalah suatu proses yang memenatkan. Tahap motivasi pun berada di tahap yang paling rendah.

Monday, April 19, 2010

Alamat Email

"Email address" adalah maklumat wajib yang mesti dikemukakan oleh graduan yang sedang mencari pekerjaan. Ia sering digunakan sebagai medium komunikasi antara majikan dan bakal pekerja. Namun perkara ini sering dipandang mudah. Bayangkan jika anda sebagai majikan, tiba-tiba menerima email dari mereka yang menggunakan email address seperti pinkygirl@... , cutegirl@, naruto@... dan lain lain alamat email yang tidak mencermin tahap intelektual dan profesionalisma anda. Mungkin majikan akan mendapat gambaran awal yang salah dan membuat kesimpulan bahawa anda tidak sesuai untuk jawatan yang diiklankan.

Saya cadangkan agar gunakan email dari gmail [atau yang lain] kerana ia membenarkan penggunaan tanda noktah (.). Jadi alamat email anda boleh direka bentuk seperti abdullah.mamat@... atau aminah.abu@... Bukankkah ianya lebih baik dan formal. Satu lagi cuba elakkan email yang mengandungi nombor seperti khair659@ ... kerana ia tidak membawa maksud yang terus, lagipun ianya bukannya kata laluan untuk akaun bank yang perlu ada kombinasi abjad dan nombor. [he he]

Sunday, April 18, 2010

Gila Kereta

Kami bukan gila kereta. Buktinya kami tidak pernah mengubahsuai kereta. Apa yang dibeli, itulah yang digunakan sehingga akhirnya. Apabila saya imbas kembali, banyak juga kereta yang telah kami beli sebelum ini. Semuanya adalah kerana keperluan. Antaranya ialah:

Proton Iswara (Harga RM 27k). Kereta ni kami gunakan sehingga Najmi berumur 6 bulan. Selepas itu kami bertukar kepada kereta yang lebih besar untuk mengisi buaian dan perkakasan 'baby Najmi' yang lain.

Proton Waja (Harga 65k). Kami gunakan selama lebih 5 tahun sebelum pergi ke NZ. Kereta ini banyak berjasa dan banyak berkhidmat untuk perjalanan jarak jauh Segamat-Lumut-Kota Bharu-Segamat. Cuma kereta ni selalu ada masalah pintu. Sepanjang tempoh 5 tahun kami guna kereta ni 4 kali tukar pembuka pintu, dan sekali motor power window.

Kancil 660cc (2nd Hand - RM16k). Kereta ni paling kerap kami gunakan meronda bandar Segamat. Apabila harga minyak mahal kami naik kereta ini sahaja. Kos minyak hanya RM 30 sahaja seminggu.

Subaru Outback (NZD 2.5k =RM 6.2k). Kereta ni kami pakai 2 hari sahaja. sebab enjin overheating. Beli dengan harga NZD 2500 dan jual semula dengan harga NZD 2700. Lepas tolak caj lain-lain, kami break even sahaja.

Nissan Bluebird (NZD 2k = RM5k). Kereta ini kereta lama tahun 1996. Enjin 1800cc. Bila naik rasa macam naik kereta Waja usia 5 tahun sahaja. [abg-abg Proton jangan marah ye]. Kereta ni dah habis ronda satu North Island, dan dah 2 kali buat ekspedisi ke Mount Ruapehu.

Honda Odyssey (Harga NZD 3350 = RM 8,375). Kereta ni tersangatlah ok. Najmi, Ainul, dan Imran pun sangat suka naik kereta ni, sebab lebih selesa dan luas. Saya pun kadang-kadang hairan juga bagaimana kereta jepun ni walaupun dah hampir 13 tahun masih tip-top lagi. Tak ada pulak pintu asyik rosak atau power window tak function..Lepas ni apabila balik Malaysia tak tahu nak beli kereta apa pulak, paling senang bawa sahaja balik Odyssey tu. Sebab Bibik pun boleh ikut jalan-jalan sekali .. ha ha.

Friday, April 16, 2010

Quran - Terjemahan Maori

Esok Sabtu (17 April), Quran dengan terjemahan bahasa Maori akan dilancarkan di Auckland. Ia adalah yang pertama dalam sejarah New Zealand. Saya mendapat tahu berita ini dari liputan di radio NZ. Usaha penterjemahan ini mengambil masa 20 tahun, dan mendapat sokongan dari Dr. Pita Sharples (Minister for Maori Affairs). Semoga ia membawa sinar baru dalam penyebaran syiar Islam di bumi kiwi ini. Amin Ya Allah.

Wednesday, April 14, 2010

Imran dan Chess

Sejak 3 hari yang lalu, Imran mula melibatkan diri dalam permainan Chess. Tanpa saya sedari, dia belajar bermain chess. Saya tidak pasti dari mana, mungkin dari komputer atau dari Najmi, dan mungkin juga dari panduan di kotak chess tersebut.

Tiga malam yang lepas, Imran mengajak saya bermain dengannya. Buah chess sudah siap tersusun. Saya menyuruhnya bermain dengan Najmi. Imran menjawab bahawa Najmi tidak mahu bermain dengannya. Tanpa berlengah saya temankan Imran untuk bermain catur. Permainan agak baik. Dia sudah mula memahami pergerakan setiap buah catur, cuma buah "Knight' agak mengelirukannya. Saya berikan kemenangan mudah untuknya. Imran tersenyum gembira.

Esoknya, dia mengajak Mama (Deb) bermain dengannya. Saya tersenyum memerhatikan gelagatnya. Logiknya amat baik. Nampaknya, Imran sudah mula menanam minat untuk bermain catur, cuma saya tidak sempat melatihnya.

Friday, April 9, 2010

Bertukar menjadi 'Humongousaur'

Sudah hampir seminggu, Najmi, Ainul dan Imran berehat di rumah sempena cuti sekolah. Maka sibuklah kami memasak dan melayan mereka. Di sebelah pagi, kami berikan sedikit latihan matematik dan selepas itu mereka bebas bermain.


Yang menjadi kepelikannya, semenjak cuti sekolah ini mereka ini bangun tersangatlah awal. Kadangkala lebih awal dari kami. Kalau pada hari sekolah,mereka punyalah liat untuk bangun sehingga puaslah kami menjerit-jerit. Kadangkala, saya terpaksa menjadi Ben 10 dan bertukar menjadi 'Humongousaur' atau 'Echo Echo'.  Yang peliknya, ia terjadi tanpa 'Omnitrix'.

Thursday, April 8, 2010

Me'reject' dan Di'reject'

Dahulu saya tidak suka apabila ada mulut-mulut yang mengatakan research kamu tidak bagus, tidak memberi 'contribution', mempunyai tema yang sama, ada teori yang bercanggah dengannya, tak control variable ini, tak control variable itu, dan banyak lagi.

Dalam diam sebenarnya saya bersifat defensive. Saya 'syok sendiri' dengan penyelidikan saya.

Namun kini segalanya berubah, saya sebaliknya amat suka mendengar kritikan dan pandangan orang lain. Pernah sekali saya menghabiskan masa 3 bulan untuk menulis satu paper dan kemudiannya di'reject' oleh editor sebuah jurnal 'A rating'. Komennya amat panjang. Saya terduduk namun berterima kasih kepada komen tersebut. Ia mematangkan dan membuka minda kami. Saya tunjukkan kepada kedua-dua supervisor saya. Mereka juga gembira membacanya.

Sejak kebelakangan ini, saya dan deb berpeluang pula menilai beberapa penyelidikan untuk conference dan journal berwasit. Rupanya ia bukannya suatu tugas mudah, kami terpaksa membuat 'homework' dan membuat banyak pembacaan tambahan. Komen yang diberikan mestilah membina dan disertakan dengan cadangan penambahbaikan. Kami berterima kasih kepada Supervisor dan ketua editor jurnal yang memberikan peluang ini. Ia sedikit sebanyak melatih kematangan kami.

Daripada 7 paper yag kami nilai, 4 paper diterima, manakala 3 lagi di 'reject'. Rupa-rupanya, menerima lebih mudah dari me'reject'. Untuk me'reject' ia perlu disertakan dengan pelbagai sebab dan cadangan penambahbaikan. Untuk mengatakan penyeldikan itu tidak bagus adalah tersangat senang, tetapi untuk memberi cadangan/penyelesaian untuk menambah baik bukanlah satu tugas yang mudah. Ianya sesuatu tugas yang mencabar kerana memerlukan pengetahuan yang luas dan mendalam dalam bidang tersebut.

Wednesday, March 31, 2010

Mari menyusun


Pada pagi Selasa dua hari yang lalu, 4 cubic meter kayu jenis Pine dan Gum tiba di halaman rumah kami. Ia adalah persiapan untuk menghadapi musim sejuk yang akan tiba tidak lama lagi. Pada hari itu, terpaksalah saya mengambil cuti kecemasan untuk menguruskan kayu-kayu ini. Kayu-kayu ini mestilah dimasukkan ke dalam garaj dengan segera. Jika berlengah dan tiba-tiba hari hujan, nanti terpaksa pula menunggu lama untuk matahari mengeringkan kayu ini.

Baru Half way, tangan sudah sengal .. hehe

Buruh kanak-kanak ini tak dapat bekerja sebab pegi sekolah

Tugasnya nampak mudah, iaitu angkat dan susun sahaja. Tapi apa yang berlaku ialah baru 1/2, badan, pingang, tangan dan kaki sudah mula sengal-sengal. Mungkin dah lama tak buat kerja berat.. Ha ha.. Semua otot-otot ini telah terlampau lama dimanjakan. Saat-saat ini, saya dan Deb terfikir bagaimana susahnya mereka yang bekerja sebagai buruh kasar mencari rezeki. Alhamdulillah menjelang tengahari semua kayu telah berjaya di susun. InsyaAllah kayu ini boleh tahan untuk kegunaan selama 6-8 bulan.

Monday, March 29, 2010

Fancy Shoes

Cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi. Pihak sekolah pun semakin sibuk mengajurkan pelbagai aktiviti. Antara yang menarik ialah fancy shoes day. Najmi, Ainul dan Imran sibuk mencari kasut-kasut lama untuk dihias. Nasib baik saya tidak buangkan lagi. Mereka pun menampal pelbagai hiasan untuk menjadikan kasut buruk mereka menarik.


Setelah siap, kasut-kasut tersebut disimpan dengan baik untuk dipakai pada hari Jumaat. Mereka tak sabar untuk menggayakan fancy shoes tersebut. Apabila hari Jumaat tiba, masing-masing bersemangat untuk kesekolah kerana ada hadiah yang ditawarkan.

Friday, March 26, 2010

Kereta Baru

Ini berita dari surat khabar lama. Sebulan yang lalu, kami telah membeli sebuah kereta baru [sebenarnya kereta lama] model Honda Odyssey tahun 1997. Harganya ialah NZD 3,350 [lebih kurang RM 8,400]. Boleh dikira sangat murah jika dibandingkan dengan harga di Malaysia. Kereta 7 seaters ini dibeli sebagai persiapan untuk membawa Atuk, Nenak dan Opah yang akan datang menziarah kami nanti.

Yang paling suka dengan kereta baru ini ialah Ainul, Najmi dan Imran. Dalam sekelip mata, Najmi, Ainul dan Imran beralih selera. Kalau boleh mereka nak saya menghantar dan menjemput mereka dari sekolah dengan kereta ini. Bak kata pepatah melayu, sudah ada gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna lagi... he he. Secara peribadi saya lebih suka membawa kereta Nissan Bluebird lagi kerana ia lebih jimat kerana enjinnya hanyalah 1800cc manual transmission berbanding dengan Odyssey (2200cc, automatic)

Kepada abang atau kakak Pegawai Kastam yang baca entri ni, tolonglah kira berapa agaknya cukai yang yang kena bayar kalau bawa balik ke Malaysia? Entah-entah sekali ganda dari harga belian, ke boleh diskaun.. he he

Thursday, March 25, 2010

Cita-cita

Saya bertanya kepada Najmi, Ainul dan Imran tentang cita-cita mereka. Najmi menjawab bahawa dia ingin menjadi 'professional gamer', manakala Ainul pula ingin bercita-cita untuk menjadi doktor. Yang paling mengejutkan saya ialah jawapan dari Imran, beliau bercita-cita menjadi tukang kebun. Saya cuba sedaya upaya untuk tersenyum sambil bersetuju dengan pilihannya.

Otago University adalah sangat popular dalam bidang perubatan.


Saya doakan suatu hari nanti Ainul akan kembali semula ke Dunedin untuk mengikuti pengajian di Otago Universiti dalam bidang perubatan. Untuk Imran dan Najmi, saya tidak dapat memberi sebarang komen buat masa ini. [he he]

Tuesday, March 23, 2010

Pergi Tak Kembali

Untuk peringatan kita semua.


.

Paling Hampeh + Cincai

Dalam banyak-banyak 'annual report' syarikat-syarikat di Bursa Malaysia, aku beri anugerah 'annual report' paling hampeh dan cincai kepada Metech Group Berhad Tahun 2008.

Aku tak tahu macam mana Board of Directors, CEO, Accountant dan staff syarikat ni boleh keluarkan annual report macam ni.

Anugerah lain akan diumumkan dari masa ke semasa.

Sunday, March 21, 2010

Tahniah

Kami sekeluarga dengan penuh syukur dan gembira mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah kepada Dr. Mizan dan Dr. Ayuni (Zen).

Zen


Hobi: Menjahit baju raya pesakit


Dr. Ayuni (Zen) telah menamatkan pengajian dalam bidang perubatan. Dr. Zen adalah antara mereka yang mula-mula kami temui semasa tiba di Wellington dahulu. Beliau sering bertugas menjaga Najmi, Ainul dan Imran semasa kami sedang sibuk mencari rumah dan kereta. Terima kasih Dr. Zen atas segala budi baik yang telah dihulurkan. Semoga berjumpa di Malaysia suatu hari nanti.

mizanyani


Research Interest: Political Stability and  Terrorism Mercedes.


Sementara itu, Dr. Mizan baru sahaja selesai viva (oral examination) pada hari Jumaat yang lalu. Beliau antara rakan PhD yang banyak memberikan nasihat dan panduan kepada kami. Selain itu, anak beliau (Nabhan) adalah rakan baik Najmi. Mengikut berita yang diterima, Nabhan kini terpaksa mengikuti kelas pemulihan "Bahasa Melayu", hehe kenapa ye Nabhan ?

Thursday, March 18, 2010

Tukar Wajah

Setelah beberapa lama blog ini menggunakan theme yang sama, akhirnya saya tukar kepada design ini. Puncanya ialah kerana ia terlalu lama untuk di buka, dan ada beberapa orang rakan mengadu ia mengandungi 'virus'.

Untuk menyelesaikannya, saya tukar kepada design yang lebih simple. Tiada gadget tambahan. Saya biarkan ianya begitu, mudah dan ringkas. Mungkin lebih cepat untuk dilayari.

Selain itu, saya tambah section Notes/Links untuk berkongsi beberapa buku dan artikel dengan rakan yang berminat. Boleh download dengan mudah.

Wednesday, March 17, 2010

Kuih Cakoi

Tiba-tiba teringat kesedapan kuih cakoi. Sedap macam mana ye? Rasanya biasa je. Mungkin bila dah lama-lama di perantauan ni, semua makanan jadi sedap. Kuih cakoi sebenarnya 'simple' sahaja (resepi ada di mymesra). Saya selalu beli di Pasar Ramadhan di Segamat. Paling saya suka kalau dicicah dengan kuah kacang.. huh sedapnya.


Alhamdulillah, percubaan pertama membuat kuih ni berjaya. Walaupun mungkin bentuknya tak se'perfect' macam di pasar Ramadhan tu, tapi rasanya sedap. Nampaknya kemahiran memasak semakin bertambah ni.. dari nugget, keropok lekor, apam balik, murtabak, satay, kuih cakoi, beriyani, dll, InsyaAllah, bila pencen nanti bolehlah saya bukak gerai pasar malam.. ha ha .. [gurau sahaja]

Monday, March 15, 2010

Journal Ratings

Saya sertakan link untuk draft 'journal rating' yang dikemukakan oleh Australian Business Deans Council (ABDC). Journal dikategorikan kepada A+, A, B, dan C.

Semoga ia membantu dan memberi manfaat.

BBQ (Phd Students - SACL, VUW)

Semalam (Ahad), kami dan pelajar-pelajar PhD + Programme Drirector dari School of Accounting and Commercial Law (SACL) mengadakan BBQ di Island Bay, Wellington.

Program bermula pada jam 11.30 pagi dan tamat lebih kurang jam 2.00 petang. Program ini bertujuan untuk mengerat hubungan sesama pelajar PhD.

Saturday, March 13, 2010

Talian Terus

Handphone adalah menjadi kebiasaan kepada remaja, hatta kanak-kanak di Malaysia. Di NZ ia bukan suatu yang penting. Berdasar pemerhatian peribadi, remaja di NZ tidak mempunyai hanphone secanggih remaja Malaysia.

Baru-baru ini, kami berikan kepada Najmi handphone dengan talian '2degrees'. Najmi melompat suka menerima handphone tersebut. Dia kini bebas menghantar txt (sms) kepada keluarga di Malaysia. Cajnya agak murah, iaitu 9 sen/text dan 44sen/minit panggilan.

Handphone itu menyebabkan Najmi kini mempunyai talian terus dengan family di Malaysia. Ia telah menjadikan saya lebih berhati-hati untuk memarahinya kerana dikuathiri dia akan 'merepot' kepada Opah di Malaysia.. haha

Thursday, March 11, 2010

Wednesday, March 10, 2010

Menuntut Janji

Beberapa minggu yang lalu, Najmi memohon kebenaran untuk menelefon 'Cik Dan' [adik saya]. Saya tertanya-tanya kenapa ? Saya dail kan nombor HP Cik Dan dan serahkan telefon kepada Najmi. Dengan pantas, Najmi terus masuk ke dalam bilik tidurnya, mungkin untuk lebih privacy. Saya ditinggalkan terpinga-pinga. Mungkin ada perkara penting yang ingin disampaikan.


Crusader Game


Pada hujung minggu tersebut, saya mendapat mesej dari Cik Ja untuk mengesahkan alamat rumah kerana ada 'parcel' yang ingin dihantar. Rupa-rupanya Najmi menuntut janji dari Cik Dan untuk membelikannya game Crusader. Mereke terlupa akan janji mereka. Maka kelam kabut lah Cik Dan, Cik Ja, dan Cik Su mencari game Crusader + game2 lain untuk dihantar kepada anak saudara kesayangan mereka. Orang dewasa mudah terlupa akan janji mereka, namun kanak-kanak tidak begitu.

Monday, March 8, 2010

Jarang menulis

Nampaknya blog ini ‘terbiar’ sejak beberapa minggu yang lalu. Pemiliknya sibuk dengan kerja sekolah. Saya mohon maaf kepada pembaca yang selalu menziarah blog ini. Mungkin sekali pandang, mungkin ramai rakan yang tidak faham atau atau merasa pelik dengan kenyataan tersebut. Pelajar PhD nampak kelihatan relaks dan ‘free’ sahaja di kacamata mereka. Dalam kes kami, sejak 3 minggu lepas, Supervisor kami berada di luar negara untuk perundingan dan penyelidikan. Secara logiknya, sepatutnya kami bebas dan merdeka. Namun hakikatnya ia tidak begitu.

Monday, March 1, 2010

BBQ di Kaitoke, Farewell Nik & Fatma

Pada 20 Februari yang lalu, kami bersama-sama sahabat2 Malaysia di Wellington ber'BBQ' di Kaitoke Regional Park. Hampir semua warga Post-Grads mengikuti program ini. Paling gembira ialah kanak-kanak terutamanya Najmi, kerana BBQ ialah aktiviti kegemarannya.

Najmi seperti biasa bertugas memasak Ayam BBQ

Antara juadah yang disediakan


Kelab Wanita: dari kiri (Datin, Kak Zeti, Deb, Khadijah, Abby, Hani, Aini, Zuryati, Pn Ros)

Sedapnya: Komen Ainul dan Imran
Nik & Fatma

Program ini diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Majlis Perpisahan untuk Nik Fadly dan Wan Fatma Zuharah. Kepada Nik dan Fatma, selamat maju jaya dan terima kasih kerana banyak membantu kami sejak kami belum bertolak ke NZ.

Monday, February 22, 2010

Tensi dengan RHB Bank

Hari Isnin ini, aku mulakan dengan perasaan geram dan ‘tensi’. Pagi-pagi ini aku nak buat pembelian bernilai RM 5050. Kami nak gunakan kredit kad tapi had limit hanya RM 5000 sahaja. Bank RHB ni pun satu jugak, bagi aku kredit limit RM 5000 je, mungkin sebab gaji ku yang dikategorikan sebagai berpendapatan rendah.

Tanpa malu-malu, aku telefon customer service bank RHB. Nak minta tambah had kredit sebanyak RM 100 supaya aku boleh buat pembelian tersebut. Mamat yang angkat telefon tu kata tak boleh, walaupun aku ada 2 kad (Visa dan Master), sebab combine limit RM 5,000.

Aku sound kat Mamat tu, 8 bulan lepas aku pernah beli tiket untuk balik Malaysia RM 13,000 pakai kat kredit tu, masa tu pegawai RHB tu Up kan kredit ku sampai 8,000 supaya boleh bantu aku beli tiket, manakala bakinya aku top-up cash dalam kad kredit tu. Aku respek kat customer service yang layan aku dulu, dia jujur bagitahu yang ‘dia tak ada authority’, tapi janji bila bos dia masuk office, ‘dia akan inform kat bos dia’. Bila bos dia masuk office, Dia call dan bantu aku sedaya upaya mereka. Aku ucap terima kasih pada customer service yang bersungguh-sungguh bantu dulu.

Kini segalanya berbeza. Hari ni aku punya ‘eksen’ turun merudum sebab Mamat tu ulang banyak kali yang aku punya ‘combine’ kredit limit hanya RM 5,000. Jagalah korang, lepas ni aku akan potong korang punya kad kredit (Visa dan Master), dan bila balik Malaysia nanti aku akan refinance rumah aku pakai bank lain ...

Kesudahannya, aku telefon Maybank mintak no TAC. Nasib baik walaupun belum subuh waktu Malaysia ada pegawai yang angkat dan bantu. Terima kasih. Tapi Maybank ni pun satu juga, setiap kali nak no TAC kena call diorang, kalau CIMB no TAC tu boleh hantar terus ke hanphone international...

Huh... tak lama lagi aku boleh jadi penganalisa kualiti perkhidmatan bank-bank di Malaysia... he he

Thursday, February 11, 2010

Ikan Emas

Kami sekeluarga ke Pasar Sabtu (Riverbank Market) pada minggu lepas. Najmi, Ainul dan Imran bersungguh-sungguh memujuk kami untuk membernarkan mereka membeli sesuatu di pasar tersebut. Imran membeli permainan Ben10, Ainul pula membeli seutas rantai, dan Najmi membeli 3 ekor ikan emas. Sebenarnya, saya amat kurang minat dengan ikan emas ni. Tugas menjaga, memberi makanan, menukar air, dan macam-macam lagi amat tidak sesuai dengan jiwa saya. Namun sebagai bapa mithali, saya luluskan juga permohonan untuk membeli ikan emas tersebut.

Apabila saya renungkan kembali tentang minat dan hobi Najmi, ia sebenarnya mirip hobi adik-adik saya, terutamanya Cik Dan (Azlan) dan Cik Su (Firdaus). Selain membela ikan, Najmi juga suka bermain chess dan bola keranjang. Mungkin Najmi menjadikan Cik Dan dan Cik Su 'idola'nya. Saya jangkakan selepas ini Najmi akan minta saya belikan kura-kura pula. ha ha.

Sunday, February 7, 2010

Main Sorok-Sorok

Permainan sorok-sorok (hide and seek) adalah satu permainan yang sangat menyeronokkan pada zaman kanak-kanak dahulu. Saya teringat kembali saat menyorok di atas pokok manggis. Walaupun tempat tersebut sudah dikira strategik, namun mungkin disebabkan saiz badan saya yang 'comel', saya begitu mudah di kesan oleh si pencari.

Ketika di sekolah menengah, beberapa orang rakan menyorok maklumat tempat tuisyen subjek Fizik dan 'Math Tambah'. Mereka takut rakan yang lain akan jadi pandai seperti mereka, selain dari kuathir tempat tuisyen akan menjadi penuh dan tidak selesa.

Ketika belajar di Universiti, seorang rakan perempuan menyorok ilmu pengetahuan walaupun dalam 'group discussion'. Dia hanya hadir untuk mengaut kefahaman rakan yang lain, tapi tidak mahu menyumbang apa-apa. Bila ditanya, dia lebih suka menjawab tidak tahu dan tidak pasti. Apabila 'permainan sorok-sorok' beliau dikesan, beliau akhirnya disingkirkan dari'group discussion' tersebut.

Sebenarnya, permainan sorok-sorok ini adalah satu realiti dalam kehidupan. Bukan kanak-kanak sahaja yang suka bermain permainan ini. Permainan sorok-sorok pelajar universiti, termasuklah pelajar peringkat PhD, jauh lebih menarik dan menggelikan hati. Masing-masing ada motif yang tersendiri untuk bermain sorok-sorok. Saya selalu nasihatkan para pelajar agar sentiasa berkongsi ilmu pengetahuan dan jangan sekali-kali kedekut dan suka menyorokkan ilmu pengetahuan. Ingatlah bahawa semua ilmu itu datang dari Allah swt dan DIA memimpin sesiapa sahaja yang ia kehendaki.

Saya ada soalan Quiz Hari ini: Wajarkah kita menyorok ilmu dengan orang yang suka menyorokkannya.

A. Sangat Wajar
B. Wajar
C. Saya tidak tahu
D. Tidak Wajar
E. Sangat Tidak Wajar

Friday, February 5, 2010

Misteri Pelajar Berbaju Hijau

Sambil bersarapan, saya dan Deb berbual masalah pengangguran di New Zealand. Ia meleret dari topik mencari kerja hinggalah ke tips menghadapi temuduga. Perbualan kami berakhir dengan ingatan kami kepada 'Pelajar Berbaju Hijau'

'Pelajar berbaju hijau' itu adalah salah seorang pelajar di dalam kelas saya ketika baru berpindah ke Segamat, Johor. Beliau sering memakai T-Shirt hijau setiap kali hadir ke kelas yang dikendalikan oleh saya. Kadangkala saya dan Deb juga sering terserempak dengan beliau ketika beliau memakai T-Shirt hijau yang sama. Ia menjadi satu misteri dalam diri saya dan Deb. Selepas 14 minggu mengajar beliau, saya menyedari bahawa beliau datang dari keluarga yang susah. Kedua-dua ibu-bapa beliau adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dan beliau menggunakan wang PTPTN nya untuk menampung kos hidup ibu-bapanya. Disebalik kesusahan hidup beliau, kami sangat kagum dengan keperibadian dan kesungguhan beliau dalam menimba ilmu pengetahuan. Beliau sentiasa memberi perhatian yang sepenuhnya di dalam kelas dan sering datang untuk 'consultation' di luar waktu kelas. Beliau benar-benar mahu mengubah masa depan dirinya dan keluarga.


T-Shirt Hijau

Selepas 2 bulan tamat pengajian, beliau datang dari rumahnya (KL) ke Segamat untuk menziarah kami. Saya rasa terharu. Beliau mengadu bahawa bahawa beliau telah gagal beberapa temuduga pekerjaan. Saya khuatir kegagalan beliau mungkin disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk hadir ke temuduga. Kadangkala, kemampuan dan 'character' sebenar kita tidak dapat diterjemahkan dengan baik jika kita tidak mampu berpakaian dengan sepatutnya. Beliau mestilah hadir temuduga dengan pakaian yang sesuai, iaitu sekurang-kurangnya memaki kemeja lengan panjang, bertali leher, berseluar hitam, dan bersepatu. Membeli pakaian baru yang sesuai adalah satu pelaburan ataupun kemestian bagi mendapatkan pekerjaan.

Sebelum pulang, kami bersalaman. Saya sisipkan beberapa keping wang kertas dan berbisik, 'belilah baju dan seluar yang baru untuk temuduga yang akan datang'. Beliau menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih.Sebulan selepas itu, beliau menghantar sms mengatakan beliau telah mendapat pekerjaan di Maybank. Saya dan Deb tumpang gembira dengan kejayaan pelajar berbaju hijau itu. Kami doakan beliau berjaya dalam kerjaya dan hidupnya.

Wednesday, February 3, 2010

Back to school

Najmi, Ainul dan Imran kembali semula ke sekolah semalam. Mereka sangat seronok untuk berjumpa dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Saya menghantar Ainul dan Imran sehingga ke kelas. Maklumlah beg mereka agak berat kerana penuh dengan buku tulis. Tambahan pula semalam adalah hari pertama, jadi elok juga saya pergi beramah mesra dengan guru kelas mereka, selain dari menyerahkan semua buku tulis untuk disimpan oleh guru kelas tersebut. Oh.. ya, Imran baru sahaja melompat pindah ke kelas Ainul.


Najmi, Ainul dan Imran - Di hadapan pintu sekolah


Imran dan Ainul, duduk mendengar taklimat dari guru besar


Wajah Najmi sama seperti papa ketika kecil dahulu

Sebaik sahaja loceng berbunyi, semua murid berkumpul untuk perhimpunan. Berbeza dari kebiasaan, kali ini ia diadakan di luar dewan. Mungkin untuk menikmati cahaya matahari sempena musim panas ketika ini. Saya pulang sebaik sahaja perhimpunan selesai.