Friday, February 5, 2010

Misteri Pelajar Berbaju Hijau

Sambil bersarapan, saya dan Deb berbual masalah pengangguran di New Zealand. Ia meleret dari topik mencari kerja hinggalah ke tips menghadapi temuduga. Perbualan kami berakhir dengan ingatan kami kepada 'Pelajar Berbaju Hijau'

'Pelajar berbaju hijau' itu adalah salah seorang pelajar di dalam kelas saya ketika baru berpindah ke Segamat, Johor. Beliau sering memakai T-Shirt hijau setiap kali hadir ke kelas yang dikendalikan oleh saya. Kadangkala saya dan Deb juga sering terserempak dengan beliau ketika beliau memakai T-Shirt hijau yang sama. Ia menjadi satu misteri dalam diri saya dan Deb. Selepas 14 minggu mengajar beliau, saya menyedari bahawa beliau datang dari keluarga yang susah. Kedua-dua ibu-bapa beliau adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dan beliau menggunakan wang PTPTN nya untuk menampung kos hidup ibu-bapanya. Disebalik kesusahan hidup beliau, kami sangat kagum dengan keperibadian dan kesungguhan beliau dalam menimba ilmu pengetahuan. Beliau sentiasa memberi perhatian yang sepenuhnya di dalam kelas dan sering datang untuk 'consultation' di luar waktu kelas. Beliau benar-benar mahu mengubah masa depan dirinya dan keluarga.


T-Shirt Hijau

Selepas 2 bulan tamat pengajian, beliau datang dari rumahnya (KL) ke Segamat untuk menziarah kami. Saya rasa terharu. Beliau mengadu bahawa bahawa beliau telah gagal beberapa temuduga pekerjaan. Saya khuatir kegagalan beliau mungkin disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk hadir ke temuduga. Kadangkala, kemampuan dan 'character' sebenar kita tidak dapat diterjemahkan dengan baik jika kita tidak mampu berpakaian dengan sepatutnya. Beliau mestilah hadir temuduga dengan pakaian yang sesuai, iaitu sekurang-kurangnya memaki kemeja lengan panjang, bertali leher, berseluar hitam, dan bersepatu. Membeli pakaian baru yang sesuai adalah satu pelaburan ataupun kemestian bagi mendapatkan pekerjaan.

Sebelum pulang, kami bersalaman. Saya sisipkan beberapa keping wang kertas dan berbisik, 'belilah baju dan seluar yang baru untuk temuduga yang akan datang'. Beliau menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih.Sebulan selepas itu, beliau menghantar sms mengatakan beliau telah mendapat pekerjaan di Maybank. Saya dan Deb tumpang gembira dengan kejayaan pelajar berbaju hijau itu. Kami doakan beliau berjaya dalam kerjaya dan hidupnya.

3 comments:

  1. berkali-kali saya baca coretan ini,sekaligus cuba menginsafi diri yg jarang bersyukur dgn apa yg saya mliki sekarang......

    ReplyDelete
  2. satu coretan yang menyentuh hati...syahdu....

    ReplyDelete
  3. Khairul dan Wan, mulianya hatimu.

    ReplyDelete