Monday, February 22, 2010

Tensi dengan RHB Bank

Hari Isnin ini, aku mulakan dengan perasaan geram dan ‘tensi’. Pagi-pagi ini aku nak buat pembelian bernilai RM 5050. Kami nak gunakan kredit kad tapi had limit hanya RM 5000 sahaja. Bank RHB ni pun satu jugak, bagi aku kredit limit RM 5000 je, mungkin sebab gaji ku yang dikategorikan sebagai berpendapatan rendah.

Tanpa malu-malu, aku telefon customer service bank RHB. Nak minta tambah had kredit sebanyak RM 100 supaya aku boleh buat pembelian tersebut. Mamat yang angkat telefon tu kata tak boleh, walaupun aku ada 2 kad (Visa dan Master), sebab combine limit RM 5,000.

Aku sound kat Mamat tu, 8 bulan lepas aku pernah beli tiket untuk balik Malaysia RM 13,000 pakai kat kredit tu, masa tu pegawai RHB tu Up kan kredit ku sampai 8,000 supaya boleh bantu aku beli tiket, manakala bakinya aku top-up cash dalam kad kredit tu. Aku respek kat customer service yang layan aku dulu, dia jujur bagitahu yang ‘dia tak ada authority’, tapi janji bila bos dia masuk office, ‘dia akan inform kat bos dia’. Bila bos dia masuk office, Dia call dan bantu aku sedaya upaya mereka. Aku ucap terima kasih pada customer service yang bersungguh-sungguh bantu dulu.

Kini segalanya berbeza. Hari ni aku punya ‘eksen’ turun merudum sebab Mamat tu ulang banyak kali yang aku punya ‘combine’ kredit limit hanya RM 5,000. Jagalah korang, lepas ni aku akan potong korang punya kad kredit (Visa dan Master), dan bila balik Malaysia nanti aku akan refinance rumah aku pakai bank lain ...

Kesudahannya, aku telefon Maybank mintak no TAC. Nasib baik walaupun belum subuh waktu Malaysia ada pegawai yang angkat dan bantu. Terima kasih. Tapi Maybank ni pun satu juga, setiap kali nak no TAC kena call diorang, kalau CIMB no TAC tu boleh hantar terus ke hanphone international...

Huh... tak lama lagi aku boleh jadi penganalisa kualiti perkhidmatan bank-bank di Malaysia... he he

Thursday, February 11, 2010

Ikan Emas

Kami sekeluarga ke Pasar Sabtu (Riverbank Market) pada minggu lepas. Najmi, Ainul dan Imran bersungguh-sungguh memujuk kami untuk membernarkan mereka membeli sesuatu di pasar tersebut. Imran membeli permainan Ben10, Ainul pula membeli seutas rantai, dan Najmi membeli 3 ekor ikan emas. Sebenarnya, saya amat kurang minat dengan ikan emas ni. Tugas menjaga, memberi makanan, menukar air, dan macam-macam lagi amat tidak sesuai dengan jiwa saya. Namun sebagai bapa mithali, saya luluskan juga permohonan untuk membeli ikan emas tersebut.

Apabila saya renungkan kembali tentang minat dan hobi Najmi, ia sebenarnya mirip hobi adik-adik saya, terutamanya Cik Dan (Azlan) dan Cik Su (Firdaus). Selain membela ikan, Najmi juga suka bermain chess dan bola keranjang. Mungkin Najmi menjadikan Cik Dan dan Cik Su 'idola'nya. Saya jangkakan selepas ini Najmi akan minta saya belikan kura-kura pula. ha ha.

Sunday, February 7, 2010

Main Sorok-Sorok

Permainan sorok-sorok (hide and seek) adalah satu permainan yang sangat menyeronokkan pada zaman kanak-kanak dahulu. Saya teringat kembali saat menyorok di atas pokok manggis. Walaupun tempat tersebut sudah dikira strategik, namun mungkin disebabkan saiz badan saya yang 'comel', saya begitu mudah di kesan oleh si pencari.

Ketika di sekolah menengah, beberapa orang rakan menyorok maklumat tempat tuisyen subjek Fizik dan 'Math Tambah'. Mereka takut rakan yang lain akan jadi pandai seperti mereka, selain dari kuathir tempat tuisyen akan menjadi penuh dan tidak selesa.

Ketika belajar di Universiti, seorang rakan perempuan menyorok ilmu pengetahuan walaupun dalam 'group discussion'. Dia hanya hadir untuk mengaut kefahaman rakan yang lain, tapi tidak mahu menyumbang apa-apa. Bila ditanya, dia lebih suka menjawab tidak tahu dan tidak pasti. Apabila 'permainan sorok-sorok' beliau dikesan, beliau akhirnya disingkirkan dari'group discussion' tersebut.

Sebenarnya, permainan sorok-sorok ini adalah satu realiti dalam kehidupan. Bukan kanak-kanak sahaja yang suka bermain permainan ini. Permainan sorok-sorok pelajar universiti, termasuklah pelajar peringkat PhD, jauh lebih menarik dan menggelikan hati. Masing-masing ada motif yang tersendiri untuk bermain sorok-sorok. Saya selalu nasihatkan para pelajar agar sentiasa berkongsi ilmu pengetahuan dan jangan sekali-kali kedekut dan suka menyorokkan ilmu pengetahuan. Ingatlah bahawa semua ilmu itu datang dari Allah swt dan DIA memimpin sesiapa sahaja yang ia kehendaki.

Saya ada soalan Quiz Hari ini: Wajarkah kita menyorok ilmu dengan orang yang suka menyorokkannya.

A. Sangat Wajar
B. Wajar
C. Saya tidak tahu
D. Tidak Wajar
E. Sangat Tidak Wajar

Friday, February 5, 2010

Misteri Pelajar Berbaju Hijau

Sambil bersarapan, saya dan Deb berbual masalah pengangguran di New Zealand. Ia meleret dari topik mencari kerja hinggalah ke tips menghadapi temuduga. Perbualan kami berakhir dengan ingatan kami kepada 'Pelajar Berbaju Hijau'

'Pelajar berbaju hijau' itu adalah salah seorang pelajar di dalam kelas saya ketika baru berpindah ke Segamat, Johor. Beliau sering memakai T-Shirt hijau setiap kali hadir ke kelas yang dikendalikan oleh saya. Kadangkala saya dan Deb juga sering terserempak dengan beliau ketika beliau memakai T-Shirt hijau yang sama. Ia menjadi satu misteri dalam diri saya dan Deb. Selepas 14 minggu mengajar beliau, saya menyedari bahawa beliau datang dari keluarga yang susah. Kedua-dua ibu-bapa beliau adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dan beliau menggunakan wang PTPTN nya untuk menampung kos hidup ibu-bapanya. Disebalik kesusahan hidup beliau, kami sangat kagum dengan keperibadian dan kesungguhan beliau dalam menimba ilmu pengetahuan. Beliau sentiasa memberi perhatian yang sepenuhnya di dalam kelas dan sering datang untuk 'consultation' di luar waktu kelas. Beliau benar-benar mahu mengubah masa depan dirinya dan keluarga.


T-Shirt Hijau

Selepas 2 bulan tamat pengajian, beliau datang dari rumahnya (KL) ke Segamat untuk menziarah kami. Saya rasa terharu. Beliau mengadu bahawa bahawa beliau telah gagal beberapa temuduga pekerjaan. Saya khuatir kegagalan beliau mungkin disebabkan tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk hadir ke temuduga. Kadangkala, kemampuan dan 'character' sebenar kita tidak dapat diterjemahkan dengan baik jika kita tidak mampu berpakaian dengan sepatutnya. Beliau mestilah hadir temuduga dengan pakaian yang sesuai, iaitu sekurang-kurangnya memaki kemeja lengan panjang, bertali leher, berseluar hitam, dan bersepatu. Membeli pakaian baru yang sesuai adalah satu pelaburan ataupun kemestian bagi mendapatkan pekerjaan.

Sebelum pulang, kami bersalaman. Saya sisipkan beberapa keping wang kertas dan berbisik, 'belilah baju dan seluar yang baru untuk temuduga yang akan datang'. Beliau menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih.Sebulan selepas itu, beliau menghantar sms mengatakan beliau telah mendapat pekerjaan di Maybank. Saya dan Deb tumpang gembira dengan kejayaan pelajar berbaju hijau itu. Kami doakan beliau berjaya dalam kerjaya dan hidupnya.

Wednesday, February 3, 2010

Back to school

Najmi, Ainul dan Imran kembali semula ke sekolah semalam. Mereka sangat seronok untuk berjumpa dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Saya menghantar Ainul dan Imran sehingga ke kelas. Maklumlah beg mereka agak berat kerana penuh dengan buku tulis. Tambahan pula semalam adalah hari pertama, jadi elok juga saya pergi beramah mesra dengan guru kelas mereka, selain dari menyerahkan semua buku tulis untuk disimpan oleh guru kelas tersebut. Oh.. ya, Imran baru sahaja melompat pindah ke kelas Ainul.


Najmi, Ainul dan Imran - Di hadapan pintu sekolah


Imran dan Ainul, duduk mendengar taklimat dari guru besar


Wajah Najmi sama seperti papa ketika kecil dahulu

Sebaik sahaja loceng berbunyi, semua murid berkumpul untuk perhimpunan. Berbeza dari kebiasaan, kali ini ia diadakan di luar dewan. Mungkin untuk menikmati cahaya matahari sempena musim panas ketika ini. Saya pulang sebaik sahaja perhimpunan selesai.

Tuesday, February 2, 2010

5 Bentuk Syukur Nikmat

Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam Islam. Tetapi jika tidak bersyukur jadi kufur. Oleh itu, marilah kita bersyukur. Bagaimana bentuk syukur patut kita lakukan? Sebenarnya ada lima bentuk syukur nikmat perlu kita renungkan.

Pertama: Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.

Kedua: Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucap saja 'alhamdulillah' (segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.

Ketiga: Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat. Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru dan ibu ayah.

Keempat: Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mereka yang menjadi guru dan mempunyai ilmu patut berkhidmat dengan ikhlas untuk umat.

Kelima: Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur. Tetapi dalam bab ini, kita mesti berhati-hati, kerana dibimbangi mengundang riya'.- Saya petik maklumat ini dari harian metro. Untuk baca artikel penuh sila klink di sini -