Semua muslim amat prihatin dengan makanan yang halal. Tiada siapa sanggup menelan makanan yang mengandungi babi, arak, dan makanan haram yang lain. Apabila berada di luar negara, semua menjadi lebih prihatin kerana banyak makanan yang tidak halal. Maka, semua kandungan makanan disemak dengan teliti. Pelbagai rujukan dilakukan sebelum memakan sesuatu makanan. Tindakan ini amatlah baik, perlu dipuji dan dicontohi. Mencari dan memastikan makanan yang halal adalah kefardhuan bagi setiap muslim.
Di sebalik isu tentang mencari makanan halal, ada kisah pelik lagi ajaib yang ingin dikongsikan. Baru-baru ini kami berkenalan dengan seorang kenalan yang sangat prihatin dengan isu makanan halal. ini Pakaiannya sendiri sudah cukup melambangkan ketakwaan dan keimanan yang tinggi kepada Allah swt. Namun rasa hormat kami lenyap sekelip mata, apabila mengetahui beliau membuat tuntutan palsu atas kos penginapan dan perjalanannya. Kenalan tersebut tewas dalam ketamakan mengumpulkan harta dunia. Beliau keliru antara makanan yang halal dan rezeki yang halal.
Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah swt agar diberikan rezeki yang halal lagi berkat. Ya Allah Ya Tuhanku, Jauhkanlah kami dari rezeki yang haram dan syubhah. Jauhkanlah kami rezeki yang datang dari sumber rasuah, riba, penipuan, penganayaian dan apa-apa jenis rezeki yang haram, iaitu yang akan menyumbat kami ke neraka mu. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, kurniakan rezeki yang halal, lagi berkat kepada kami, kepada keluarga kami, kepada keturunan kami dan kepada seluruh umat muslimin dan muslimat. Amin Ya Allah.
No comments:
Post a Comment