Wednesday, November 28, 2007

Ain dan Imran ke Epuni Kindergarten




Depan Epuni Kindergarten

Imran dan Ain Di Laluan Masuk ke Epuni Kindergarten

Selepas Najmi mendaftar sekolah, saya terus mendaftarkan Ain dan Imran di Epuni Kindergarten. Ianya terletak di belakang sekolah Najmi. Di Kindergarten ini, Ain akan pergi setiap pagi, manakala Imran pula pada 3 kali seminggu pada sebelah petang. Mereka berdua memulakan persekolahan pada hari Isnin (26 Nov) ini. Apa yang menarik perhatian kami di sini ialah kami dipesan agar anak-anak dipakaikan dengan pakaian yang lama. Apabila menemani mereka semasa sesi melawat pada hari khamis, saya faham kenapa di nasihatkan begitu. Mana tidaknya kanak-kanak tersebut bermain warna air dan banyak aktiviti luar kelas seperti main pasir, air dan banyak lagi.Kami percaya mesti ramai terkejut melihat kanak-kanak di sini bermain pasir siap dengan pelbagai alatan.



Depan Kelas

Depan Kelas Ain and Imran

Satu perkara yang istimewa ialah, penglibatan ibu-bapa. Terdapat jadual untuk ibu bapa bertugas membantu guru-guru. Selain itu terdapat 'white board' menyatakan tugas-tugas yang ibu-bapa boleh membantu secara sukarela setiap hari. Sepanjang pengamatan, saya dapati sentiasa ada ibu bapa berada di kindergarten bagi membantu guru-guru. Mereka benar-benar terlibat didalam pembangunan anak-anak disini. Saya perhatikan ada ibu bapa yang sama-sama mengajar menyanyi, menggunting kertas, membaiki alatan di 'playground dan menjaga keselamatan anak-anak yang bermain pasir.



Playground

Di sinilah tempat Ain dan Najmi Main

Tentang bayaran yuran, kami dikecualikan dari membayar sebarang yuran. Kami menerima 20 jam ECE (early child education) dari NZ Government. Ini membolehkan kami menghantar Imran dan Ain di pusat jagaan atau tadika selama 20 jam seminggu tanpa sebarang bayaran.jJika kami menghantar mereka kepada lebih dari satu pusat jagaan/kindergarten menyebabkan jumlah jam melebihi 20 jam barulah dikenakan bayaran.



Playground

Masa Summer Ni. Mereka Banyak Bermain Di Luar Bilik Kelas

Terdapat 3 orang guru yang bertugas. Mereka ialah Esther, Donna dan Linda. Semuanya mempunyai latihan selama 3 tahun dan mempunyai Diploma in Early Education. Selain itu mereka juga dibantu oleh seorang staff Admin (Wendy). Setakat ini Ain dan Imran gembira sahaja pergi ke Kindergarten tersebut. Cuma Imran ada menangis sedikit pada hari pertama. Ain gembira sahaja tanpa sebarang masalah.




Sunday, November 25, 2007

Najmi Mula Bersekolah

Epuni Primary School

Inilah Sekolah Baru Najmi

Pada hari Isnin minggu lepas, saya mendaftarkan Najmi bersekolah di Epuni Primary School. Guru besar membawa Deb dan Najmi melawat ke kelasnya semasa saya sibuk mendaftarkannya. Saya sibuk bertanyakan baju ’uniform’, buku teks, yuran dan banyak lagi semasa mendaftarkannya. Yang menariknya, tiada baju uniform, yuran atau buku teks perlu dibeli. Apa yang perlu di bawa ialah buku tulis, alat tulis dan bekal makanan. Saya dimaklumkan bahawa terdapat ramai pelajar dari pelbagai negara tetapi Najmi ialah satu-satunya pelajar Malaysia yang bersekolah di situ.



Pora

Najmi dan Pora

Najmi mula bersekolah pada keesokan harinya. Guru kelasnya ialah Miss Trouttman. Di kelasnya terdapat pelbagai kaum. Ada 25 orang pelajar di kelasnya. Kelas bermula pada pukul 8.50 hingga 3 petang. Setiap hari saya akan membekal makanan untuk tengahari. Berbuih mulut saya memesan Najmi agar makanan yang dibekalkan sahaja. ’Jangan makan makanan kawan-kawan yang lain. Najmi pun dah berbuih mulut mengatakan ’Ya, Saya Faham’ setiap kali saya berpesan. Saya tahu dia faham, tapi saya takut jika ada kawan-kawan yang mempelawanya, dia akan lupa segala pesanan saya. Selepas 5 hari Najmi bersekolah, saya lega kerana mendapati semua pelajar hanya dibenarkan makan makanan masing-masing.



Depan Kelas Najmi

Depan Kelas Najmi

Kini sudah lima hari Najmi bersekolah di situ. Semoga Najmi cepat menyesuaikan diri dengan sekolah barunya dan bergembira bersekolah di sini.




Saturday, November 24, 2007

Makanan Halal di Wellington

Mencari makanan merupakan suatu cabaran bila berada di luar negara. Alhamdulillah, daging halal boleh didapati di beberapa buah kedai di Wellington. Bagi menjimatkan masa, kami di sini mengambil langkah membeli peti sejuk yang besar supaya tidak perlu selalu ke kedai tersebut. Barangan seperti daging lembu, kambing, sosej dan nugget kami beli di kedai ’Wellington Butcher’ di Newtown, Wellington yang jaraknya 25 minit dari rumah kami.



PakNSave

Tempat Kami Bershopping... sementara ada duit

Bagi Ayam, ianya boleh didapati di supermarket ’Pak N Save’ yang ada di mana- mana di sekitar Wellington. Pasaraya ini ibarat Giant, Carrefour atau Tesco di Malaysia. Ia di buka dari seawal pukul 6.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam. Ayam Frozen (berat 5kg) biasanya menjadi pilihan kami. Harganya NZ$24.00. Bagi barangan lain seperti udang, ikan, potato fries,fish fngers dan groceries yang lain semuanya boleh di dapati di pasaraya tersebut. Jaraknya dari rumah kami lebih kurang 300 meter. Cuma pada peringkat awal sampai di sini, saya dan deb asyik membelek satu-satu barangan supaya dapat mengelakkan membeli barangan yang tidak halal. Dengan pertolongan dan panduan dari kawan-kawan seperti Ann dan Farah kerja menjadi lebih mudah



Imran and Sandwich

Mmm. Sedapnya

Nugget dan burger (buatan arab) tak berapa menjadi. Begitu juga kicap ABC buatan Indonesia tidak sesuai dengan tekak Najmi. Puas saya mencari ke Asian Market di Kilbirnie dan Davies Trading di Petone namun tidak nampak bayang kicap ’Cap Kipas Udang’ atau kicap ’Tamin’. Akhirnya deb terpaksa menggunakan ’kreativiti’nya untuk mengubahsuai kicap ’Siam’ bagi memenuhi selera Najmi.



Friday, November 23, 2007

Fardhu Jumaat

Pada minggu awal di Wellington, saya bersembahyang di Masjid di Kilbirnie. Ada lebih kurang 150 jemaah di situ. Masjidnya cantik walaupun saiznya kecil. Ia terletak di tengah-tengah pekan Kilbirnie. Khutbah dibaca oleh Imam dalam bahasa Inggeris. Selepas sembayang ada Jemaah yang menjual Nasi Beriyani (NZ$7.00).



Masjid Kilbirnie

Masjid Kilbirnie

Pada Jumaat baru ini, saya bersembahyang di Masjid Lower Hutt. Ia terletak 10 minit dari rumah baru kami. Apabila tiba di sana, saya dapati ianya sebuah rumah kedai yang disewa. Terdapat label masjid di situ. Jemaahnya pun tidak ramai. Ada lebih kurang 60 orang sahaja. Kalau di Malaysia, masjidnya besar, indah, lengkap dengan pelbagai perhiasan serta jemaah untuk sembahyang jumaat pun ramai. Di Masjid di Lower Hutt ini ia sebaliknya. Namun begitu, Alhamdulillah fardhu jumaat tetap dilaksanakan dengan sempurna. Hati saya menjadi sayu.


Thursday, November 15, 2007

Rumah Baru

Rumah Lower Hutt

(With Sofea and Adam)

Selepas puas mencari rumah di Wellington City, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menyewa di Lower Hutt. Ianya lebih murah.Selepas di campur tolak, kami hanya mampu menyewa rumah dengan kadar NZ$300 seminggu. Kadar sewa di Wellington City agak mahal (NZ$ 400-NZ600 seminggu). Itu belum lagi kos parking. Selepas hampir sepuluh buah rumah, akhirnya kami memilih sebuah rumah di Copeland Street, Lower Hutt. Ianya betul-betul berhadapan dengan stesen keretapi. InsyaAllah, Deb akan ke kelas di Pipitea Street, Thorndon menaiki keretapi. ‘School of Law and Commerce berada betul betul berhadapan Stesen Keretapi Wellington. InsyaAllah kami akan berpindah masuk ke rumah baru ini pada 18 Nov 07.



epuni

(Bunga Rose kot !!!)

Pada hari ini Sabtu (17 Nov 07), kami sekeluarga pergi sekali lagi melawat rumah baru ini. Sebahagian dari beg kami pindahkan ke sana. Selepas itu kami keluar membeli pelbagai barang keperluan. Lebih kurang pukul 12 tengahari, kami menerima kunjungan dair Balkish dan Abg Ali. Setelah kami teliti 'garden' di hadapan rumah kami, rupa-rupanya sudah banyak tanaman bunga Ros pelbagai warna sedang kembang segar dan harum wangi. Selain itu terdapat juga pokok epal dan anggur di hadapan rumah. Begitu seronok rasa hati.



epuni

(Najmi dan Ain - Watering flowers)

Bila kami melawat ke belakang rumah, alangkah terkejutnya kami kerana tumbuhan seperti Pegaga, Limau Purut, Sadri, Rosemary dan Pudina sudah sedia ada di sana. Teringat kembali semasa di Malaysia, kami tinggal di rumah Pegawai Pembangunan pelajar di UiTM Johor. Kebetulan rumah kami di tingkat 1. Jadi kami tiada tempat untuk 'gardening'.



epuni

Semoga Allah terus melindungi dan memudahkan perjalanan kami sekeluarga di bumi asing ini. Amin.




Miramar Street & Shelly Bay

miramar

(Imran & Ain - Miramar Street)


Membeli kereta di New Zealand ialah sesuatu yang amat menarik. Harga bagi kereta terpakai sangat murah. Cara untuk mendapatkannya juga pelbagai. Seperti di Malaysia,  kereta terpakai boleh di beli di ’Used Car dealer’, tetapi yang lebih popular ialah secara online (www.trademe.co.nz), public auction dan private owner. Selalunya ‘private owner’ akan meninggalkan keretanya sepanjang Miramar Street dan Shelly Bay. Pada hari minggu, lagi banyak kereta. Apa yang perlu dilakukan ialah, berjalan sepanjang jalan ini sambil meninjau kereta idaman masing-masing dan hubungi pemilik jika berminat.


Pada Sabtu (10 Nov 07). Saya ke Miramar Street sekali lagi. Kali ini ditemani oleh rakan-rakan (Azahari, Fairus, Nik, Abg Malik). Saya memilih untuk membeli kereta Nissan Bluebird (advertised price = NZ$2500). Terima kasih kepada Azahari yang banyak membantu saya dalam memeriksa keadaan enjin kereta tersebut. Pemilik kereta (Troy Stokker) sedia untuk membawa kereta tersebut ke Workshop pada hari Isnin untuk di periksa terlebih dahulu. Saya sebenarnya ’buta kereta’. Walaupun di Malaysia, pernah mempunyai kereta, tetapi hal berkaitan enjin langsung tidak tahu.Troy bersedia menjualkan kereta tersebut pada harga NZ$ 2,000 sahaja. Selepas diperiksa oleh Workshop, kos servis dan alat ganti adalah NZ$400. Saya mengambil keputusan untuk membeli kereta tersebut. Alhamdulillah akhirnya, kami ada kereta.

Newtown Library and Playground

Newtown merupakan kawasan yang ramai di diami oleh komuniti muslim(mengikut kata rakan-rakan disini). Saya ke sini untuk membeli daging halal dan kemudiannya membawa Najmi, Ain dan Imran ke ’Newtown Library’. Saya mendaftarkan keahlian ‘library’ untuk semua anak-anak. Tiada sebarang caj dikenakan dan kami boleh meminjam sebanyak mana buku yang dikehendaki. Untuk DVD kanak kanak, caj yang dikenakan ialah $0.50 setiap satu. Saya meminjam beberapa buah buku dan 3 buah DVD untuk mereka.



newtown

(Imran - Newtown Playground)


Selepas itu, kami bawa mereka bermain di ’Playground’ di luar library. Jam pada masa itu menunjukkan jam 1.00 petang. Sesekali angin sejuk dan nyaman bertiup. Teringat semasa di Malaysia, kami membawa anak-anak bermain di taman permainan pada pukul 5.30 petang. Di sini tengahari ialah waktu yang terbaik sebab ia lebih panas. Selepas membiarkan mereka bermain seketika, saya terus membawa mereka pulang ke rumah. (takut mereka kesejukan jika mereka bermain di luar terlampau lama).

Sunday, November 11, 2007

Wellington Zoo

Wellington Zoo

(with Kak Zie - Wellington Zoo)

Najmi, Imran dan Ain sudah bosan tinggal di rumah. Kami sudah hampir seminggu, sibuk mencari rumah, kereta dan pelbagai barang keperluan lain. Mendapatkan rumah untuk di sewa bukanlah suatu yang mudah di Wellington. Kadar sewa amat tinggi (NZ$ 400-NZ$600 per week). Permintaan ke atas rumah sewa adalah amat tinggi.



Zoo

(with Kakak Farah)

Pada Ahad (11 Nov 07), kami mengambil keputusan untuk membawa Najmi, Ain dan Imran ke Wellington Zoo. Farah dan Zie menemani kami. Kami semua menaiki bas ke Wellington Zoo. Ia mengambil masa 5 minit dari rumah kami di Adelaide Road. Alangkah seronoknya mereka dapat melihat pelbagai binatang yang ada di sana. Apa yang menarik tentang Wellington Zoo ialah ia di kekal dalam semulajadi (penuh dengan pokok dan tumbuhan hijau). Kami seolah-olah berjalan di dalam hutan. Selepas hampir 2 jam berjalan di dalam Zoo, kami pulang semula ke rumah. Najmi, Ain dan Imran gembira tapi kepenatan.


Wednesday, November 7, 2007

Manners Street dan Cuba Street

Manners Street


(Husna, Khairul, Deb, Nash, Farah - Manners Street)


Keesokan hari, selepas tidur dalam kepenatan, kami terus meminta Farah menolong kami untuk mendaftarkan telefon, membuka akaun bank dan memperkenalkan kami dengan bandar Wellington. Kami menaiki kereta Mel ke bandar. Setibanya, kami terus ke National Bank of New Zealand di Manners Street dan kemudiannya membeli Sim-Card untuk hanphone. Di sana Nash dan Husna telah sedia menanti kami. Kami bersiar siar di bandar Wellington. Sebelum pulang ke rumah, kami menyewa sebuah kereta (Toyota Estima) untuk pulang ke rumah. Terima kasih kepad Farah, Husna dan Nash kerana menemani kami. Tanpa bantuan mereka nescaya kami tercangak-cangak di tengah bandar ini. Tidak lupa juga terima kasih kepada Noha yang menjaga Najmi, Ain dan Imran di rumah sepanjang sehari kami keluar. Apa yang menariknya tentang bandar Wellington ini ialah pejalan kaki lebih ramai daripada yang menggunakan kereta. Sebenarnya berjalan di bandar memang menyeronokkan. Cuaca sejuk dan angin segar dan bersih yang sentiasa bertiup menyebabkan kami tidak langsung penat berjalan.



Monday, November 5, 2007

Kehidupan Baru di Bumi Kiwi

Penerbangan dari KLIA ke Auckland berlepas tepat pada pukul 9.15 malam. Bermulalah perjalanan kami sekeluarga ke Bumi Kiwi. Ramai sungguh ahli keluarga yang bersusah payah datang menghantar kami. Prof. Kamil dan keluarga pun turut menghantar kami. Rasanya masa begitu cepat berjalan. Tiba-tiba sahaja masa untuk berlepas telah hampir. Tidak puas rasanya untuk bertemu dan berbual-bual dengan keluarga dan sahabat.



Auckland Airport

(Ain, Najmi dan Imran - Auckland Airport).

Penerbangan kami tiba pada pukul 12.30 tengahari (Waktu NZ) selepas 9 jam 45 minit penerbangan. Setibanya kami di Auckland, kami bertolak ke Wellington menggunakan domestic flight Air New Zealand, iaitu selepas pemeriksaan kastam. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun pihak kastam memeriksa dengan teliti barang barang yang kami bawa. Semua barang makanan di periksa satu persatu. Kami tiba di wellington pada pukul 4.30 ptg. Anak anak pada masa tu dah bosan menaiki kapal terbang. Mereka terlompat-lompat kesukaan bila tiba di Airport.



drummond

(with Kakak Noha and Farah)


Staf dari Victoria University sudah sedia menanti setibanya kami di sana. Selepas tu, kami terus pergi ke rumah Farah (pelajar malaysia) di Drummond St. Sampai sahaja, semua rakan-rakannya (antaranya Noha, Nash, Huda, Zi & etc)  sedia menyambut kehadiran kami. Kami dijamu dengan pelbagai hidangan seperti nasi ayam, soto, karipap, samosa.. dll. Turut serta ialah seorang rakan yang lain (Ann Soraya) yang sudah siap membelikan pelabagai keperluan & makanan untuk kami sekeluarga (spt roti, susu, telur..). Satu jam selepas itu lebih kurang pukul 6. Fatma Zuharah, Nik dan Abg Sufian datang membawa kami ke rumah pelajar post-grad (Abg Sufian). Di sana kami diperkenalkan dengan keluarga-keluarga  Malaysia yang lain. Ada lebih kurang 10 keluarga yang  datang menyambut kami. Kami siap bersembahyang berjemaah di rumah abang Sufian sebelum menyambung makan malam (menu mee kari, nasi campur, .. dan banyak2 lagi.


Malam itu kami sekeluarga tidur dengan penuh kesyukuran kepada Allah kerana memudahkan perjalanan ini. Semoga hari yang mendatang terus di permudahkanNYA..