Wednesday, December 31, 2008

Tarikh Istimewa

Maal Hijrah, Tahun Baru dan 31 Disember kebetulan semuanya begitu hampir sekali. Bagi seorang Muslim, Maal Hijrah semestinya membawa pengertian yang besar. Namun di Wellington tiada sambutan yang gilang-gemilang seperti di Malaysia. Di Masjid Lower Hutt pun tiada apa aktiviti yang luar biasa kecuali Summer Camp untuk anak-anak sempena cuti sekolah. Program selama 4 jam sehari, 4 hari seminggu dan selama 4 minggu insyaAllah akan banyak memberi manfaat kepada Najmi. Maklum sahajalah di sini tiada kelas agama seperti di Malaysia.




31 Disember 2000


31 December juga ialah tarikh yang istimewa bagi kami. Bukannya disebabkan majoriti syarikat di Malaysia hatta di seluruh dunia menutup akaun mereka pada tarikh ini, tapi ia adalah tarikh ulangtahun perkahwinan kami. 31 December 2008 ini ialah ulangtahun perkahwinan yang ke 8. Alhamdulillah dalam tempoh 8 tahun ini pelbagai suka-duka telah berjaya dilalui. Kepada isteri tersayang, tiada kata cinta dapat menggambar perasaan ini. Terima kasih atas sokongan dan pengorbanan yang diberikan selama ini.




Anak-anak kesayangan Papa & Mama

Kalau ditanya apa yang paling istimewa dalam 8 tahun perkahwinan ini, jawapannya tentulah kehadiran tiga cahaya mata iaitu Najmi, Ainul dan Imran yang menyerikan rumah kami & juga rumah Opah dan Nenek. he he

Selamat Pengantin Baru (Part2)

Menatap koleksi gambar perkahwinan Abe & Kak Ita melalui http://picasaweb.google.com/wamalina , menimbulkan rasa sedih kerana tidak dapat bersama dalam majlis perkahwinan tersebut. Kami di sini sentiasa mendoakan kebahagian Abe & Kak Ita. Selamat Pengantin Baru sekali lagi kami ucapkan kepada mereka.




Insan Istimewa

Sabtu (27 December 2008), kami dan semua rakan-rakan menganjurkan majlis farewell untuk Yang Berbahagia Prof. Dato’ Othman Yatim dan Datin, (Malay Chair di Victoria University of Wellington). Majlis diadakan di rumah Adi Affendi, iaitu pegawai di Kedutaan Malaysia di Wellington. Terima kasih kepada Adi & Zaza yang sudi menjadi host untuk majlis ini. Mereka bersusah payah menyediakan tempat untuk kami berkumpul pada hari itu. Majlis BBQ gilang gemilang ini dihadiri oleh ramai rakan dan keluarga yang terdiri dari pelajar post-grads, pegawai & staff kedutaan dan rakan-rakan yang lain.



Dao' Prof Dr. Othman & Adi Affendi (Tuan Rumah)


Pelbagai jenis makanan disediakan oleh semua hadirin selain dari BBQ. Untuk BBQ kali ini, bukan sahaja penuh dengan ayam dan kambing, tetapi juga makanan-makanan laut hasil tangkapan Kelab Joran Melayu Wellington. Mana tidaknya, Kelab Joran Melayu Wellington telah mendapat hasil tangkapan yang sangat lumayan sejak kebelakangan ini.



Najmi minat memasak BBQ


Dato' Dr. Prof. Othman ini sangat istimewa orangnya. Walaupun beliau seorang yang berharta ($$$), ber’mercedes’, berilmu (Dr.), berpangkat (Professor) dan berdarjat (Dato’), namun beliau tidak sama sekali meninggi diri. Semakin berisi semakin tunduk orangnya. Beliau (Dato’ dan Datin) tidak pernah menganggap pangkat dan anugerah yang telah mereka terima sebagai sesuatu untuk dibanggakan.



Sebahagian dari juadah yang disediakan


Ini menjadikan saya hairan dengan kewujudan manusia spesis lain yang telah diberikan pelbagai anugerah dari Allah swt seperti berharta, berkuasa, berpangkat dan berdarjat namun begitu sombong dan angkuh. Jangankan nak berbual atau bertanya khabar, nak memberikan senyuman pun tidak sudi kepada mereka yang bukan dari kasta yang sama. Hati nakal saya berkata, pangkat, kuasa, darjat dan harta itu mereka boleh sumbatkan bersama-sama ke liang lahat. (kenyataan ini tiada kaitan dengan hidup atau mati, .. entah kenapa tiba-tiba terlebih emosi menulis entri ini)



Dato' & Datin sentiasa menyokong aktiviti post grad welly (Di Miramar Beach)


Saya teringat kembali saat mula tiba di Wellington. Dato’ datang ke majlis menyambut kami walaupun tidak beberapa sihat pada hari itu. Selain itu, kami juga tumpang menyambut hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha di rumah beliau (Teratak Malaysia). Dato’ dan Datin sentiasa gembira menerima kedatangan kami walaupun kadangkala kami akan lepak di rumahnya agak lama untuk berbual dan berborak dengan rakan yang lain. Selain itu, beliau sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal kami pelajar post grad dan keluarga walaupun beliau bukan pegawai MSD


Saya menulis entri ini bukan untuk mengagongkan beliau, cuma ingin berkongsi kewujudan manusia istimewa ini, iaitu


yang tak tinggi dek pangkat

tak megah dek puji

yang tak sombong dek kaya

yang tak lagak dek kuasa


Hadiah mesti dibuka serta merta- mengikut adat Kiwi


Mengenali Prof. Othman menimbulkan keinsafan dalam diri saya. Saya memohon ampun dari Nya. Saya mohon jauhkan dari rasa tinggi, megah, sombong dan berlagak. Saya mohon agar sentiasa diberikan rasa rendah diri dan takut kepada Nya. Amin Ya Allah.

Tuesday, December 30, 2008

Macam-Macam Ada

Sudah lama rasanya tak update blog ini. Untuk makluman semua kawan-kawan, kami baru berpindah ke rumah baru. Disebabkan sekarang ni musim cuti krismas, maka tiada techinician yang boleh memasangkan talian telefon, broadband dan digital TV sehinggalah semalam.



Terima Kasih kepada semua kawan-kawan yang membantu


Semoga Allah memudahkan semua urusan kalian juga


Terima kasih kepada rakan-rakan Wellington Post Grads & Ahli Kelab Joran Wellington kerana bersusah payah membantu urusan pindah-mindah ini. Jasa kalian semua amatlah kami hargai. Kepada Abg Ali, Sufian, Niklin, Nik Fadly, Madi, Zaidi, Jestin, Azam, Alif dan semua yang membantu (Bel & Maz), ucapan terima kasih yang tak terhingga.



Minum selepas selesai operasi + sembahyang jumaat


Sekarang ni tengah musim cuti krismas dan tahun baru. Jadi sekolah tutup sehingga awal Februari. Universiti pun tutup juga. Bagi kami sekeluarga, krismas baru-baru ini, kami dan rakan-rakan yang lain berjalan ke Raumati Beach dengan Train. Ianya adalah percuma sempena cuti Krismas. Kalau tahun lepas kami lepak di Paraparaumu Beach, tahun ini di Raumati Beach, mungkin ada keizinanNya tahun depan ke Whaikane Beach pula.



Rumah ini gunakan kayu api untuk panaskan rumah selain dari heater elektrik.

Yang paling menarik tentang cuti krismas ialah keesokan harinya ialah Boxing Day. Jualan murah besar-besaran di semua kedai. Seharilah kami tawaf di Supermarket sekitar Lower Hutt dan Petone.. ha ha .. Tapi kena berhati-hati juga, sebab kadang-kadang Sale tu sebenarnya harga biasa sahaja. Tetapi ada juga setengah barang yang jualan murah hingga 60%. Jadi inilah masa yang terbaik untuk membeli barang pilihan anda. he he .. Mengikut sumber yang boleh dipercayai ramai pelajar post-grads wanita membeli set pinggan noritake hari tu. Harga satu set lebih kurang NZ$ 149 sahaja.

Wednesday, December 17, 2008

Kenapa Menulis Blog ?

Sehari sebelum berlepas ke NZ untuk meneruskan pengajian, Prof. MKI hadiahkan saya web ini. Pesan beliau, tulislah sesuatu untuk keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Saya terfikir "Apa yang nak saya tuliskan, tiada kisah yang menarik dalam hidup ini untuk dikongsikan atau dijadikan teladan, tambahan pula saya jarang menzahirkan perasaan saya". Namun saya gagahkan juga menulis baris-baris kata untuk pengisian blog ini.


Lama kelamaan saya mula mengerti. Blog ini dibaca oleh keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Setiap kali mereka melihat blog ini, mereka tahu kami dalam keadaan sihat di sini. Opah, Atuk, Nenak dan Atuk tahu bahawa cucu-cucu mereka dalam keadaan baik setiap kali melayari blog ini. Setidak-tidaknya, jika ada keluarga, rakan-rakan atau bekas-bekas pelajar yang ingin mengetahui khabar kami, mereka tahu di mana untuk mencarinya.


Perasaan teruja timbul bilamana blog ini juga dijadikan rujukan dan dimanfaatkan oleh sahabat seperti Ridwan, Zaidi, Haza, Abg Azam dan Kak Azizah. Catatan pengalaman sejak mendarat di Wellington hingga kini telah memberi satu gambaran jelas tentang kehidupan yang akan dilalui oleh mereka di bumi kiwi ini. Abang Azam berpuluh kali mengucapkan terima kasih atas tips-tips yang saya berikan di dalam blog ini. Kata beliau blog ini telah memberi persedian mental dan psikologi kepada mereka. Anak-anak mereka juga seolah-olah sudah lama mengenali Najmi, Ainul dan Imran. Saya gembira jika ia benar begitu. 


Kenapa kami tidak menulis tentang PhD kami. Ohh.. ianya bukan kisah menarik dan mudah difahami oleh semua. Blog ini adalah tempat kami lari dari segala teori, permasalahan penyelidikan, kaedah kajian, methodologi dsb nya. Tambahan pula kisah PhD ini adalah sama sahaja seperti kisah yang ada didalam buku-buku panduan PhD iaitu kajian literature, research proposal, data collection, sampling dan lain-lain. Saya berharap ia akan kekal begitu..

Tuesday, December 16, 2008

Berpindah

InsyaAllah pada hari khamis ini, kami akan mula berpindah ke rumah baru di Naenae, Lower Hutt. Ia adalah selepas mengambil kira kehendak dan keselasaan anak-anak. Namun yang sedihnya, pihak telstra hanya boleh sambung semula Telefon, Internet dan TV selepas Krismas iaitu 29 December 2008.


Dalam tempoh ini, boleh telefon atau text kami di nombor handphone berikut:


Khairul : +64 21 02 64 2005


Adibah : +64 21 02 63 0493

Saturday, December 13, 2008

Mercedes vs Non-Mercedes

Tanggal 13 December 2008 bersamaan dengan hari Sabtu, semua pelajar post grad wellington dan keluarga berkumpul di pantai Miramar untuk majlis BBQ sempena Aidil Adha. Selain itu, satu pertandingan GP Joran juga diadakan dengan tawaran pelbagai hadiah yang menarik. Pelbagai juadah juga dibawa, Seekor kambing dan beberapa ekor ayam di'BBQ'kan. Bila tengok makanan yang sangat banyak ini, timbul konflik dan persoalan dalam diri, tentang makanan mana yang nak disantap.



Kambing dengan 5 jenis resepi marinate berbeza, Ikan pun ada



Imran gembira


Program ini juga lebih meriah dengan kehadiran jemputan-jemputan di kalangan rakan-rakan karib & keluarga sini seperti Nawawi (Cambodia), Niklin (Acheh), Adi & Zaza (Hicom), Lt.Col Ahmad Faiezzelan (Hicom) dan Nizam & Ina (Hicom). Yang paling istimewa ialah kehadiran Y. Berbhg Dato Prof. Othman Yatim dan Datin ke Majlis ini. Y.Berbhg Dato Prof. Othman telah melepaskan acara GP Joran dan juga meng'sponsor' pelbagai hadiah untuk pertandingan ini. Terima kasih kepada Dato' dan Datin yang sentiasa menyokong aktiviti kami dan sentiasa sudi membantu kami selama ini.


 


Kelab Wanita menjamu selera.



Makan time


Peserta pertandingan masing-masing sibuk dengan umpan tersendiri. Selain itu juga pelbagai jenama joran digunakan seperti Katmandu, Shimano, Jorvois, dan lain-lain lagi. Selepas beberapa minit pertandingan bermula, beberapa peserta menarik diri lebih awal kerana tidak tahan dengan godaan bau BBQ. Kelab wanita juga lebih sibuk dengan sesi temubual & perbincangan hal ehwal semasa. Bagi anak-anak mereka kelam kabut bermain dengan anak-anak Malaysia yang lain.



Y. Berbhg Dato Prof. Otham Yatim melancar pertandingan



Mencari Spot yang Terbaik 



Secara keseluruhannya ini adalah keputusan pertandingan:

GP Joran Siri 1


Kategori Pertama  :   Tangkapan terawal     :  Sham (Ueya)

Kategori Kedua     :   Tangkapan terbanyak :  Abg Ali

Kategori Ke tiga    :   Tangkapan terbesar   :  Abg Ali

Hadiah cabutan bertuah :

Cabutan Pertama   :   Abg Ali

Cabutan Kedua      :   Mizan

Cabutan ketiga      :   Niklin

 



Tangkapan terawal, Sham menggunakan pancing Shimano



Juara tangkapan terbanyak & tangkapan terbesar




Datin menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada Mizan 



Datin menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada sdr. Niklin


Aktiviti ini telah merapatkan hubungan silatur-rahim dikalangan semua pelajar, pasangan, anak-anak dan rakan-rakan di Wellington. Yang paling menarik, ialah  semua orang boleh duduk bersama walaupun berlainan (1) Darjat (Dato vs non Dato); (2) Pangkat (Pegawai vs Pelajar); (3) Kelab kereta (Mercedes vs Non-Mercedes). Alangkah bagusnya kalau di Malaysia pun begitu juga.



Kitalah Sahabat, Kitalah Keluarga