Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya tiba-tiba teringat zaman kanak-kanak saya. Saya dibesarkan oleh arwah Nenek (opah) saya di sebuah kampung di Bidor, Perak. Jumaat merupakan hari istimewa bagi semua muslim. Bagi lelaki dewasa, mereka akan datang awal ke Masjid untuk beriktikaf sebelum menunaikan solat Jumaat. Bagi saya dan kanak-kanak yang lain, kami juga datang awal juga ke Masjid, tetapi untuk menikmati pulut dan pisang. He he.
Saya lebih suka pulut bersama daging rendang
Alhamdulillah, sentiasa ada orang bermurah hati untuk bersedekah pulut dan pisang di Masjid kampung saya. Kadangkala, ada pelbagai jenis pulut seperti pulut inti kelapa, pulut inti daging rendang, pulut sambal ikan bilis, pulut telur telur dadar, dan macam-macam lagi. Jika tiada orang sedekah minggu tersebut, maka kami semua makan pisang sahajalah pada hari jumaat itu. huhu.. Entah kenapa, makan di masjid ini lebih menyelerakan berbanding dengan makan di rumah. Mungkin kerana makan bersama-sama dengan kawan-kawan atau mungkinkah kerana ianya percuma.
Selepas puas makan pisang dan pulut, barulah kami beramai-ramai masuk ke masjid untuk beriktikaf dan kemudiannya bersembahyang jumaat. Pisang dan pulut tersebut telah berjaya memotivasikan kanak-kanak seperti kami untuk datang awal ke Masjid ..hehe. [...nasihat saya: datanglah awal ke masjid kerana Allah, iaitu untuk beriktikaf, bukan kerana pisang atau pulut]
Namun di akhir zaman ini, saya jadi hairan dan pelik. Ada segelintir manusia yang pergi ke Masjid tapi hanya lepak di bawah pokok berhampiran Masjid. Sebaik sahaja Imam memberikan salam, mereka pun bergegas pulang. Mungkinkah mereka menyembah pokok ? Bagi kaum ibu, mereka sudah lali melihat senario ini ketika menunggu anak lelaki mereka.